MAPUTO, 16 JAN – Daniel Francisco Chapo mengangkat sumpah sebagai Presiden kelima Mozambique, kelmarin.
“Selaras dengan Perkara 149, perenggan 1, Perlembagaan Republik, saya dengan ini mengisytiharkan Daniel Francisco Chapo dilantik sebagai Presiden Republik Mozambique,” umum Lucia Ribeiro, Presiden Majlis Perlembagaan.
Acara yang diadakan di Independence Square itu dihadiri tokoh terkemuka, termasuk bekas Presiden Joaquim Chissano dan Armando Guebuza, serta ketua negara yang akan berundur, Filipe Nyusi.
Turut hadir Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo, bersama lebih 2,000 tetamu, termasuk wakil kerajaan, organisasi, rakan kerjasama dan orang kenamaan lain.
Dalam perkembangan berasingan, pertubuhan masyarakat sivil Plataforma menerusi hantaran di platform X kelmarin melaporkan lebih 300 orang terbunuh dalam protes antikerajaan di Mozambique yang tercetus berikutan pilihan raya presiden
pada Oktober, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Demonstrasi itu tercetus selepas Chapo diumumkan sebagai pemenang dengan seruan protes secara aman oleh pihak pembangkang sering berakhir dengan kekacauan dan keganasan. – Bernama