LONDON, 31 Mei – Pertahanan Manchester City, Danilo menyifatkan kontroversi membabitkan tatu raifal Raheem Sterling sebagai satu perkara yang remeh.
Gambar tatu pada kaki Sterling dijadikan muka hadapan oleh akhbar tabloid di Britain, Sun dan mengundang kritikan daripada aktivis bagi kempen antisenjata api.
Namun penyerang berusia 23 tahun itu menegaskan tatu terbabit bukanlah hanya tatu semata-mata sebaliknya ia memberi maksud yang mendalam kepada dirinya.
Menerusi laman Instagramnya, Sterling menjelaskan ‘ketika saya berusia dua tahun, bapa saya ditembak mati jadi saya berjanji untuk tidak memegang senjata api sepanjang hidup saya.
“Saya melakukan rembatan menerusi kaki kanan jadi tatu ini memberi makna yang mendalam kepada diri saya.”

Persatuan Bolasepak England (FA) memberi sokongan terhadap tindakan Sterling yang dilihat ‘jujur dan ikhlas’ mengenai punca dia memiliki tatu terbabit dan rakan sepasukannya, Danilo turut mempertahankannya.
“Banyak kali kita memberikan perhatian kepada perkara sedemikian,” katanya ketika ditemui di padang latihan Tottenham Hotspur bagi sesi latihan pra-Piala Dunia.
“Semuanya terpulang kepada kehendak dirinya. Ia adalah perkara yang dia sendiri rasakan dan bermakna untuk dirinya.”
Danilo, 26, menyaksikan musim pertamanya di England berakhir dengan gelaran Liga Perdana selepas ketibaannya dari Real Madrid.
Walaupun dia terpaksa berkongsi tugas penuh dengan Kyle Walker, Danilo gembira dengan waktunya bekerja dengan pengurus City, Pep Guardiola semasa kempen sulung pertahanan dalam bola sepak Inggeris.
“Ia pengalaman yang luar biasa,” katanya.
“Saya seorang peminat besar Guardiola dan bagaimana dia merancang permainan ini. Ia adalah pengalaman hebat untuk bekerja dengannya.” – AFP