Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Danne Burger buka restoran baharu

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Setelah ditimpa musibah yang tidak diduga, pasangan suami isteri, Awang Deeni Roza bin Idriss dan Dayang Qurratuani binti Abdul Samat yang mengusahakan Danne Burger sejak tujuh tahun lalu telah membuka restoran baharu yang terletak di Kampung Selayun.

    Danne Burger bukanlah suatu jenama baharu dan sudah tidak asing bagi para penggemar burger di negara ini, dengan keistimewaan burger yang dihasilkan dalam pelbagai warna dan bentuk, menjadikan ramai yang menyukainya.

    Memulakan perniagaan di Daerah Belait, pemilik Danne Burger, Awang Deeni Roza mengongsikan kepada Media Permata bahawa beliau mencekalkan hati untuk membuka kembali restorannya setelah restoran sebelumnya yang terletak di Jerudong pada hujung 2021 mengalami kebakaran sekali gus meranapkan semua harta benda dan peralatan perniagaan mereka selama ini.

    Katanya, minat yang mendalam terhadap bidang masakan dan perniagaan menjadikannya lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan hidangan berlainan termasuklah bagi penghasilan roti burger sendiri yang beraneka bentuk dan warna serta inti burger yang pelbagai.

    Meskipun mengakui turut terjejas akibat impak penularan COVID-19 yang melanda negara, pasangan suami isteri itu tabah mengharungi cabaran dan menganggapnya sebagai asam garam dalam menjalani perniagaan.

    Membuka lembaran baharu, Deeni Roza dan isteri memilih untuk membuka kembali restoran mereka bagi memenuhi kehendak pelanggan terutama sekali yang tinggal di Daerah Brunei dan Muara.

    Restoran yang boleh memuatkan seramai 30 orang pelanggan dalam satu masa tersebut turut menyediakan pelbagai menu lain seperti char kueytiaw dan hidangan salai-salaian di luar restoran.

    Pemilik Danne Burger menunjukkan burger berwarna-warni yang menjadi kesukaan ramai.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda