Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dapat pengiktirafan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Dis – Mata wang kenang-kenangan $50 yang dilancarkan pada 5 Julai lalu sempena Ulang Tahun Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata wang antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura telah mendapat pengiktirafan daripada International Hologram Manufacturers Association (IHMA) kerana memiliki ciri-ciri keselamatan optik pada mata wang tersebut.

    Ciri-ciri keselamatan pada mata wang itu bukan saja memenangi Anugerah Ciri-ciri Sekuriti yang Terbaik dalam Anugerah Excellence in Holography 2017, malah meraih Anugerah Pujian dalam Kategori Inovasi dalam Teknologi Holografi.

    Anugerah Excellence in Holography ini diadakan setiap tahun oleh IHMA untuk mengiktiraf produk-produk yang menggunakan holografi secara cemerlang.

    Ciri keselamatan tersebut dapat dilihat di kedua-dua mata wang kenang-kenangan Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

    Menurut kenyataan dari Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD, mata wang kenang-kenangan tersebut telah berkenan dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Singapura, Tuan Yang Terutama Lee Hsien Loong, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Perjanjian Kesaling-bolehtukaran Mata wang di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

    Kedua-dua mata wang kenang-kenangan memiliki elemen sekuriti yang unik di mana terdapatnya ciri-ciri keselamatan lut sinar menggambarkan Istana Nurul Iman, Negara Brunei Darussalam dan Istana Singapura. Ciri yang menggunakan nano partikel ini juga memberi kesan pengalihan warna yang dapat dilihat dengan mata kasar namun sangat sukar untuk ditiru.

    Maklumat lanjut mengenai mata wang kenang-kenangan Brunei-Singapura $50 sempena ulang tahun ke-50 Perjanjian Kesalingboleh-tukaran Mata Wang antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura boleh didapati melalui laman web AMBD atau laman web Autoriti Monetari Singapura (MAS), Aplikasi Mudah Alih AMBD yang boleh dimuat turun melalui ‘App Store’ dan ‘Google Store’; atau dengan menonton video mengenainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda