Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dapatan ekspedisi saintifik dibentang semasa persidangan

    Oleh Sim Y. H. –

    TEMBURONG, 10 JUN – Ekspedisi Saintifik: Meneroka Biodiversiti Negara Brunei Darussalam melabuhkan tirainya selepas hari ke-10 dengan majlis penutup yang diadakan di Balai Raka Kampung Selapon, Temburong kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan, di sini, hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Dahliana binti Haji Aliakbar.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim; Pengarah Institut bagi Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Hussein bin Haji Taha; Ketua Kampung Batu Apoi dan Pemangku Ketua Kampung Selapon, Haji Mumtaz bin Haji Yakub; Majlis Perundingan Kampung Selapon, Jawatankuasa Ekspedisi Saintifik, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan, UBD dan peserta-peserta ekspedisi.

    Pada majlis berkenaan, wakil kumpulan penyelidik, Profesor Madya Dr Rahayu Sukmaria binti Haji Sukri dari IBER, UBD menyampaikan sinopsis ekspedisi saintifik berkenaan.

    Ekspedisi saintifik yang bermula dari 30 Mei hingga 8 Jun di kawasan Hutan Simpan Batu Apoi, Temburong itu telah disertai oleh seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada 10 pasukan pengkaji yang mewakili institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

    Sebahagian daripada dapatan ekspedisi itu berserta dengan beberapa projek kajian daripada pelbagai disiplin akan dibentangkan semasa Persidangan Biodiversiti Negara Brunei Darussalam yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Ekspedisi saintifik dan persidangan biodiversiti itu merupakan anjuran bersama antara KSSUP melalui Jabatan Perhutanan dan UBD bersempena dengan Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2024 (Brunei MYCE 2024).

    Gambar ramai dengan Hajah Dahliana (lima dari kanan) seusai majlis penutup. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara peserta yang menyertai ekspedisi tersebut. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda