Saturday, September 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Dapatkan keputusan Pra-STPUB, STPUB melalui SMS

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Pendaftaran bagi mendapatkan keputusan peperiksaan-peperiksaan Pra-Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (Pra-STPUB) dan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) Tahun 1443H / 2022M melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) akan mula dibukakan pada 24 Januari, pukul 10 pagi.

    Perkhidmatan berkenaan disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat, Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan Mach Telecommunications Systems Sdn Bhd (MachTel)

    KHEU dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan, calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan berkenaan dikehendaki mendaftar terlebih dahulu melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit.

    Para pelanggan hendaklah menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon (jarak) nombor kad pengenalan pintar dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif.

    Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

    Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan. Pelanggan akan dikenakan caj bayaran $1 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima.

    Sehubungan itu, para pelanggan dipohon agar dapat memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai baki kredit yang mencukupi.

    Melalui perkhidmatan itu diharapkan akan dapat memudahkan para calon, ibu bapa atau penjaga mengetahui keputusan peperiksaan-peperiksaan berkenaan secara individu dengan lebih cepat dan tepat.

    Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran serta terma dan syarat bagi perkhidmatan berkenaan, bolehlah menghubungi MachTel melalui e-mel, kheuresults@machbrunei.com.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Singa baham tuan

    TOKYO, 29 SEPT – Seorang penjaga zoo di taman safari Jepun terbunuh selepas seekor singa dipercayai menyerangnya ketika dia cuba membawa haiwan itu masuk...