‘Dapatkan vaksin atau dapat COVID-19’

BERLIN, 22 NOV – Menteri kesihatan Jerman berkata hari ini peningkatan pesat dalam kes koronavirus bermakna kemungkinan besar semua orang dalam negara yang tidak menerima vaksin akan dijangkiti COVID-19 pada akhir musim sejuk – dan ada di antara mereka akan mati.

Angka rasmi pada hari ini menunjukkan lebih 30,000 kes baharu telah dikesan di Jerman dalam tempoh 24 jam lalu – peningkatan kira-kira 50 peratus berbanding seminggu lalu. Negara itu pada minggu ini dijangka melepasi 100,000 kematian berkaitan koronavirus sejak bermulanya pandemik. Hospital memberi amaran kapasiti ICU sudah penuh, dengan beberapa pesakit terpaksa dipindah ke klinik lain yang terletak jauh dari bandar.

Menteri Kesihatan Jens Spahn menggesa warga Jerman supaya mendapatkan suntikan vaksin, termasuk dos penggalak jika suntikan pertama vaksin diterima lebih enam bulan lalu, untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit serius. “Pada akhir musim sejuk ini, kebanyakan orang di Jerman mungkin telah menerima suntikan vaksin, sembuh atau mati,” beritahu Spahn kepada wartawan di Berlin.

Beliau mengakui sesetengah orang telah menganggap pandangan ini sebagai sinis. “Namun ia adalah benar. Dengan varian Delta yang amat mudah menular, kemungkinan besar situasi ini akan berlaku dan itulah sebabnya kami menyarankan vaksinasi,” kata Spahn.

Spahn berkata beliau menjangka Kesatuan Eropah (EU) meluluskan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun pada akhir minggu ini.

EU akan mula menghantar vaksin untuk kanak-kanak berkenaan pada 20 Disember, dengan Jerman menerima 2.4 juta dos, katanya. – AP

Jens Spahn menyampaikan taklimat kepada wartawan mengenai kempen vaksinasi dan penyakit COVID-19 di Berlin, Jerman kelmarin. – AP