Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dapur amal bantu penduduk miskin Syria

    DAMSYIK – Inisiatif Khasa Al-Jou terus dilaksanakan bagi tahun ketujuh berturut-turut untuk membawa sukarelawan menyediakan makanan bagi golongan miskin di Syria khususnya pada bulan Ramadan yang suci ini. Dengan ruang yang kecil di belakang Masjid Umayyad yang dikagumi di bandar lama Damsyik, berpuluh-puluh sukarelawan bekerja sepanjang masa bagi menyediakan makanan bagi golongan miskin di kawasan itu semasa bulan Ramadan ini.

    Pada tahun ini, inisiatif tersebut yang dikenali sebagai ‘Defeat Hunger’, semakin meningkat dan berkembang berikutan lebih banyak sukarelawan menyertai kempen tersebut bagi mengagih-agihkan makanan di kawasan jalan-jalan yang tidak hanya terhad kepada mereka yang datang mencari makanan untuk berbuka puasa.

    Inisiatif ini merupakan aktiviti kumpulan kemanusiaan tempatan yang dikenali sebagai ‘Saed’ atau lebih dikenali sebagai ‘bantuan’.

    Issam Habbal, ketua kumpulan Saed yang juga bertanggungjawab untuk menyelia kerja sukarela dalam inisiatif Khasa Al-Jou berkata media Xinhua bahawa kumpulan itu kini mempunyai beberapa cawangan di beberapa buah bandar di Syria dengan tujuan yang sama bagi membantu penduduk yang memerlukan makanan untuk berbuka puasa. Dia menambah bahawa sokongan kepada inisiatif itu datang daripada masyarakat setempat. “Kebanyakan penduduk menyokong usaha kami dan sokongan tidak pernah berkurangan kerana penduduk begitu bersemangat untuk membantu dan meringankan beban mereka yang menerima bantuan ini,” tambahnya kepada media Xinhua.

    Kehidupan penduduk terjejas

    Habbal mengatakan bahawa semasa peperangan berlaku di Syria, kebanyakan penduduk yang terjejas disebabkan oleh konflik itu mendapatkan bungkusan makanan daripada organisasi kemanusiaan, malah banyak kegiatan kemanusiaan di negara itu sudah pun berhenti.

    Kumpulan ‘Saed’ itu ditubuhkan bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan makanan khususnya untuk berbuka puasa di bulan Ramadan ini. – Xinhua

    Inisiatif ini merupakan akiviti kumpulan kemanusiaan tempatan yang dikenali sebagai ‘Saed’ atau lebih dikenali sebagai ‘bantuan’. – Xinhua

    “Sebelum ini, mereka yang kurang bernasib baik akan mendapatkan bungkusan makanan daripada persatuan yang sudah terhenti itu, justeru, pada hari ini, kami bersyukur dan berkemungkinan pada tahun depan, ia akan bertambah baik serta inisiatif kami ini akan menjadi satu ritual Ramadan bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada media.

    Di kawasan ini, semua sukarelawan yang terlibat akan sentiasa sibuk mempersiapkan serta memasak makanan di dalam kuali yang besar kemudian membungkusnya di dalam kotak makanan yang kecil. Rabia Qutaiman, seorang sukarelawan, berkata bahawa kerja sukarela itu datang daripada hati dan naluri yang ingin membantu orang lain.

    “Kerja sukarelawan merupakan kerja kemanusiaan dan sesuatu yang datang daripada sikap dalaman dan tidak mementingkan diri sendiri serta mempunyai matlamat kemanusiaan yang lebih besar dalam membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya kepada media Xinhua.

    Dia berkata bahawa kumpulan Saed itu juga bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan makanan khususnya untuk berbuka puasa di bulan Ramadan ini. “Kumpulan Saed sentiasa berusaha sebaik yang mungkin bagi membantu penduduk dan memastikan kuantiti makanan adalah mencukupi untuk semua yang memerlukan serta kami cuba menyampaikan makanan kepada penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan,” kata sukarelawan muda tersebut kepada media.

    Sesetengah penduduk miskin akan berada di perkarangan dapur amal tersebut dengan mangkuk di tangan mereka sambil menunggu makanan siap sedia supaya mereka dapat berkongsi makanan tersebut untuk berpuasa puasa dan bersahur pada subuh Ramadan.

    Abu Muhammad, 65 berkata kepada media Xinhua bahawa kerja amal tersebut telah banyak membantu mereka khususnya selepas peperangan di mana mereka telah kehilangan tempat tinggal dan kehilangan segala-galanya. “Gerakan berkebajikan ini menunjukkan bahawa kita masih lagi seorang manusia tidak kira sejauh mana keganasan peperangan itu,” katanya. Kumpulan Saed juga bekerjasama dengan badan amal tempatan di beberapa kawasan di pedalaman Damsyik.

    Keberkatan Ramadan

    Hasan Akel, ketua badan amal di desa Sayhnaya Damsyik, turut hadir bagi menerima 300 makanan untuk diedarkan kepada penduduk miskin yang berada di kawasannya. “Hari ini, kami menerima 300 makanan untuk keluarga miskin di Sayhnaya dan pelarian-pelarian yang mencari perlindungan di kawasan itu,” kata Akel kepada media Xinhua.

    Kumpulan itu turut menyediakan lebih daripada 7,000 hidangan sehari dalam bulan Ramadan ini bagi membantu rakyat yang memerlukan dan memberikan kemeriahan serta keberkatan Ramadan, sekali gus menghilangkan bayangan silam peperangan Syria yang panjang. – Xinhua.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda