(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan dari minggu lepas
PERKARA YANG DILARANG KE ATAS PEREMPUAN NIFAS
Perempuan yang mengalami nifas dihukumkan sama seperti perempuan yang mengalami haidh, melainkan dalam beberapa perkara. Ulama telah sepakat (ijma‘) bahawa diharamkan ke atas perempuan yang mengalami nifas perkara-perkara yang diharamkan kepada perempuan haidh, seperti sembahyang, puasa, tawaf, membaca al-Qur’an, menanggung dan menyentuh mushaf, tetap diam di dalam masjid, bersetubuh dan ditegah suami daripada berseronok-seronok (istimta‘) di antara kawasan pusat dan lutut isteri.
Apabila kering atau berhenti darah nifas, diwajibkan ke atasnya perkara yang diwajibkan ke atas perempuan yang kering darah haidh, iaitu hendaklah dia mandi mengangkat hadats ataupun bertayammum, dalam keadaan tertentu bilamana disyariatkan ke atasnya untuk bertayammum.
Oleh itu, perempuan yang kering darah nifasnya, apabila telah berlalu atau tamat suatu tempoh tertentu, yang menurut perkiraannya ataupun menurut kebiasaannya dalam tempoh tersebut darah nifasnya itu sudah kering atau berhenti, maka wajib dia mandi mengangkat hadats. Ini kerana, tidak halal baginya untuk melakukan ibadat seperti sembahyang, menyentuh dan menanggung mushaf, bersetubuh dan selainnya, tidak termasuk puasa dan talak, sebelum dia mandi atau bertayammum.
Perempuan yang telah mandi mengangkat hadats kerana kering darah haidh atau darah nifas ataupun bertayammum, maka suami boleh menyetubuhi isteri dan tidak dihukumkan makruh. Bagaimanapun sekiranya si isteri merasa takut atau bimbang darahnya akan keluar semula, maka adalah mustahabb, yakni disukai, supaya menahan atau mengelakkan diri daripada melakukan persetubuhan sebagai langkah berhati-hati.
HUKUM DARAH NIFAS YANG TERTANGGUH
Dalam keadaan tertentu, ada kalanya perempuan yang melahirkan anak itu sama sekali tidak mengalami nifas ataupun dia tidak mengalami nifas dengan serta merta selepas melahirkan, yakni darah nifasnya tertangguh untuk suatu jangka masa atau tempoh tertentu.

Menurut hukum syara‘, seorang perempuan yang melahirkan anak dalam keadaan kering tanpa diikuti oleh darah nifas sehingga habis tempoh 15 hari daripada hari melahirkan, dianggap sebagai wiladah (beranak) tanpa basah dan dia juga dihukumkan sebagai tidak mengalami nifas menurut pendapat al-ashah. Dalam hal ini, diwajibkan ke atasnya mandi kerana wiladah kerana untuk mendirikan sembahyang apabila telah masuk waktu sembahyang dan selain sembahyang.
Manakala perempuan yang tidak mengalami nifas dengan serta merta selepas melahirkan, yakni tertangguh darah nifasnya, keadaannya terbahagi dua. Penjelasan dan hukum mengenainya adalah sepertimana berikut:
Pertama: Dia mendapati darah keluar setelah berlalu 15 hari atau lebih daripada hari melahirkan, maka darah yang dilihat keluar itu bukan lagi dinamakan darah nifas, akan tetapi ia adalah darah haidh dan dihukumkan dia sama sekali tidak mengalami nifas.
Kedua: Dia mendapati darah keluar sebelum berlalu tempoh 15 hari daripada hari melahirkan, maka darah yang keluar itu adalah darah nifas.
PENGIRAAN PERMULAAN TEMPOH DARAH NIFAS YANG TERTANGGUH
Cara pengiraan permulaan tempoh darah nifas yang tertangguh keluarnya sebelum berlalu tempoh 15 hari daripada hari melahirkan, sepertimana keadaan yang kedua yang disebutkan di atas, adalah seperti berikut:
(i) Dari segi pengiraan permulaan tempoh nifas, ia tetap bermula (dan dihitung) daripada kelahiran anak.
Oleh kerana darah nifas tertangguh keluarnya, maka terdapat tempoh bersih (an-naqa’) di antara kelahiran anak sehingga dia melihat keluar darah nifas. Tempoh bersih tersebut tetap dihitung termasuk di dalam jumlah 60 hari nifas, sekalipun darah nifasnya tidak keluar. Inilah pendapat al-mu‘tamad.
(ii) Dari segi hukum, iaitu berjalannya perkara-perkara yang dilarang atau sebaliknya terhadap perempuan yang mengalami nifas, perempuan yang tertangguh darah nifasnya itu dihukumkan sepertimana perempuan yang mengalami nifas hanya bermula daripada dia melihat darah nifas keluar.
Oleh yang demikian, di dalam tempoh bersih (an-naqa’) di antara kelahiran anak sehingga dia melihat darah nifas keluar, perempuan yang tertangguh darah nifasnya itu tetap (lazim) dihukumkan seperti perempuan yang suci.
Oleh itu, wajib ke atasnya mandi wiladah (kerana beranak). Dia juga diwajibkan mengerjakan sembahyang dan ibadat selainnya dalam tempoh bersih (an-naqa’) tersebut setelah mandi mengangkat hadats. Manakala sembahyang yang luput dalam tempoh bersih (an-naqa’) tersebut adalah wajib diqadha’.
DARAH NIFAS BERHENTI SEKETIKA DI DALAM TEMPOH NIFAS
Kadang kala perempuan yang masih di dalam tempoh nifas, iaitu belum mencapai had maksimum nifas 60 hari, mengalami situasi di mana darah nifasnya itu berhenti untuk satu jangka masa tertentu. Kemudian dia melihat darah keluar semula.
Perkara yang perlu diambil perhatian di sini ialah di dalam situasi yang disebutkan di atas; bermula daripada keluar darah nifas yang pertama, kemudian darah nifas berhenti seketika, kemudian diikuti oleh darah yang kedua sehinggalah darah tersebut kering atau berhenti, kesemuanya ini berlaku di dalam had tempoh nifas dan tidak melebihi 60 hari.
Untuk memastikan hukum darah yang keluar semula di dalam tempoh nifas, iaitu setelah darah nifas berhenti seketika, terlebih dahulu hendaklah diperhatikan kepada jangka masa darah nifas itu berhenti sebelum darah yang kedua keluar semula, sama ada dalam tempoh 15 hari atau lebih, ataupun kurang daripada tempoh 15 hari. Penjelasannya adalah seperti berikut.
Pertama: Jika darah nifas berhenti selama suatu tempoh kurang daripada 15 hari, kemudian dia melihat darah keluar semula, maka darah yang keluar semula kali kedua itu dihukumkan sebagai darah nifas. Manakala tempoh bersih (an-naqa’) yang kurang daripada 15 hari di antara kedua-dua darah tersebut dihukumkan sebagai tempoh nifas berdasarkan pandangan (qaul) as-sahab. Demikianlah pendapat al-mu‘tamad.
Sebagai contoh, seorang perempuan telah mengalami nifas selama 30 hari, kemudian darah nifasnya kering atau berhenti selama 10 hari. Setelah tempoh kering itu, dia melihat darah keluar semula. Darah yang keluar semula kali kedua itu adalah dikira sebagai darah nifas.
Kedua: Jika darah nifas berhenti selama 15 hari atau lebih, kemudian dia melihat darah keluar semula, darah yang keluar semula kali kedua itu dihukumkan sebagai darah haidh, jika cukup syarat-syarat haidh. Manakala tempoh bersih (an-naqa’) di antara kedua-dua darah tersebut (15 hari ataupun lebih) adalah dikira tempoh suci di antara darah nifas dan darah haidh yang keluar selepas itu.
Sebagai contoh, seorang perempuan telah mengalami nifas selama 30 hari, kemudian darah nifasnya kering atau berhenti selama 15 hari atau lebih. Setelah tempoh kering itu, dia melihat darah keluar semula. Darah yang keluar semula kali kedua itu adalah darah haidh, sekalipun dia masih berada di dalam lingkungan tempoh maksimum nifas, iaitu 60 hari.
HUKUM IBADAT DALAM TEMPOH BERSIH (AN-NAQA’) YANG DIHUKUMKAN SEBAGAI NIFAS
Apabila berhadapan dengan darah nifas yang berhenti seketika di dalam tempoh nifas, persoalan yang mungkin timbul ialah bagaimana dengan kedudukan kewajipan ibadat dan perkara selainnya? Penjelasannya seperti berikut.
Sekiranya dia melihat darah nifas berhenti atau kering, maka wajib ke atasnya mandi mengangkat hadats dan melaksanakan kewajipan lain seperti sembahyang dan puasa.
Demikian juga, dia boleh melakukan tawaf, membaca al-Qur’an, memegang dan menanggung mushaf, i‘tikaf, bersetubuh dan selainnya sepertimana tiada larangan ke atas perempuan yang suci. Para ulama tidak ada percanggahan dalam perkara ini. Ini kerana pada ketika itu tidak diketahui adakah darahnya akan kembali semula ataupun berhenti (sudah kering).
Bagaimananapun sekiranya pada hari-hari seterusnya dia mendapati darah keluar semula, sepertimana dalam keadaan pertama di atas, maka menurut pandangan (qaul) as-sahab, ibadat yang dilaksanakannya dalam tempoh bersih (an-naqa’) itu adalah batal (tidak sah) serta wajib diqadha’, umpamanya puasa fardhu, jika ada.