Sambungan dari minggu lepas
BERIKUT ADALAH BEBERAPA CONTOH BAGI MENJELASKAN PERKARA DI ATAS:
1. Seorang perempuan yang hamil mendapati dirinya baharu suci dari haidh, sebagaimana pendapat al-ashah bahawa perempuan hamil juga dihukumkan mengalami haidh apabila cukup syarat-syaratnya. Kemudian dalam tempoh sucinya cuma satu hari sahaja ataupun kurang daripada itu, dia melahirkan anak. Setelah kelahiran anaknya, dia melihat darah keluar lagi. Dalam keadaan ini, darah yang pertama ketika hamil itu adalah darah haidh dan darah yang kedua setelah kelahiran anaknya itu adalah darah nifas. Manakala tempoh bersih di antara haidh ketika hamil dan nifas itu, iaitu satu hari ataupun kurang, adalah tempoh suci. Dalam contoh ini adalah jelas bahawa tempoh suci di antara kering darah haidh dan permulaan keluar darah nifas adalah kurang daripada 15 hari.
2. Seorang perempuan yang telah mencapai tempoh maksimum nifas 60 hari, kemudian dia suci daripada nifas kerana darah nifasnya kering atau berhenti.
Dalam tempoh kurang daripada 15 hari setelah dia suci daripada nifasnya dia melihat darah keluar lagi. Dalam keadaan ini, darah yang kedua selepas kering darah nifas itu adalah darah haidh. Manakala tempoh bersih di antara nifas dan haidh, iaitu kurang dari 15 hari adalah tempoh suci.
3. Seorang perempuan yang mengalami nifas selama 59 hari, kemudian pada hari ke 60 dia suci (kering darah nifasnya). Pada hari ke 61, jika dia melihat darah keluar semula maka darah tersebut adalah darah haidh. Dalam contoh ini, tempoh suci di antara kedua-dua darah itu adalah satu hari ataupun kurang.
Sebagai kesimpulan, wajib ke atas perempuan untuk mempelajari, mengetahui dan memahami perkara yang diperlukannya mengenai darah haidh, nifas dan istihadhah lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang mengalami nifas atau yang akan menghadapinya. Ini termasuklah hukum berkaitan darah nifas yang tertangguh keluarnya, darah nifas yang berhenti seketika semasa masih di dalam tempoh nifas, iaitu 60 hari, darah yang keluar melebihi had nifas, tempoh bersih, tempoh suci dan selainnya.
