KOTA KINABALU, 7 OKT – Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa kesan darah yang terdapat pada dua helaian kertas diari mengandungi tulisan tangan Zara Qairina Mahathir, sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik (DNA) diperolehi daripada spesimen tulang remaja itu.
Pengarah Kanan di Pusat Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan Jabatan Kimia Malaysia, Selangor, Nor Aidora Saedon, 52, berkata kesan darah yang ditemukan pada dua helaian kertas dengan dilabelkan sebagai ‘Y1’ dan ‘Y8’, masing-masing meliputi dua dan tujuh kawasan.
Saksi ke-17 itu mendedahkan perkara berkenaan ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari ke-18 prosiding inkues kematian Zara Qairina, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
“Kesan darah itu konsisten antara satu sama lain serta berpadanan dengan profil DNA didapati daripada spesimen tulang Zara Qairina. Ini menunjukkan bahawa DNA yang dikenal pasti berasal daripada individu yang sama. Kertas ‘Y1’ dan ‘Y8’ adalah saling melengkapi antara satu sama lain,” kata Nor Aidora.
Selain itu, saksi berkenaan yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai ahli kimia berkata terdapat kesan darah ditemukan pada kertas berlabel ‘WK15(9)(a)’ dan kesan DNA surih pada buku berlabel ‘WK13’ juga adalah sepadan.
Beliau berkata DNA surih adalah DNA yang terhasil daripada ‘Contact of Transfer’ yang merupakan sentuhan ataupun air liur.
“Satu profil DNA campuran yang terdiri daripada seorang penyumbang major perempuan dan sekurang-kurangnya dua penyumbang minor telah diperoleh daripada kesan darah pada ‘Y8’ meliputi kawasan ‘Y8(i)’ dan kesan DNA surih pada beg alat tulis berlabel ‘WK1(a)’, buku ‘WK9’ dan ‘WK14’ serta selimut ‘WK27’.
“Profil DNA didapati daripada spesimen tulang Zara Qairina, adalah merupakan penyumbang major kepada profil DNA campuran ini manakala penyumbang-penyumbang minor tidak dapat ditentukan secara konklusif,” katanya. – Bernama


