BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Darussalam Enterprise (DARe) kini mengalu-alukan penyertaan pihak-pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengendalikan pusingan kedua Program ‘Startup Bootcamp’.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, hari ini, DARe menjelaskan bahawa program berkenan merupakan sebuah program latihan bagi para usahawan yang akan dijalankan bagi tempoh selama 100 hari.
Menerusi program tersebut, para usahawan yang terlibat akan diberikan latihan serta bimbingan dalam pelbagai segi termasuk penciptaan dan pelaksanaan idea, kemajuan produk, penyediaan pelan perniagaan, pengenalan perniagaan, cara-cara mendapatkan pembiayaan dan teknik pemasaran serta penjualan produk.
Sehubungan itu, DARe menjemput para fasilitator tempatan dan serantau yang berminat untuk menghadiri sesi taklimat yang berkenaan pada 15 Mac 2017, pukul 10:30 pagi di Tingkat 1, Auditorium, iCentre, Anggerek Desa.
Pihak yang berminat dikehendaki mengemukakan cadangan menerusi e-mel startup.bootcamp@dare.gov.bn sebelum 21 Mac 2017. Bagi sebarang maklumat lanjut, pihak yang berminat bolehlah menghubungi pihak DARe di talian 2384830 (sambungan 250) atau menerusi e-mel yang telah disebutkan.
Dalam kenyataan berasingan, DARe turut memaklumkan bahawa berikutan inisiatif outreach yang dilaksanakan pada Disember 2016 hingga Januari 2017, mereka akan meneruskan inisiatif berkenaan sehingga September 2017.
Menerusi inisiatif tersebut, mereka mendekati perniagaan-perniagaan di seluruh negara untuk memahami lagi operasi masing-masing dan mendapatkan maklum balas bagi membangunkan dan meningkatkan skim-skim bantuan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Menurut kenyataan itu, maklumat lain yang diperlukan termasuk jumlah pekerja, hasil jualan dan butiran pemilihan.
Sehubungan itu, DARe mengharapkan sokongan para pengusaha PMKS semasa inisiatif berkenaan dan memberi
jaminan bahawa maklumat yang dikumpulkan semasa temu bual berkenaan akan dirahsiakan.
DARe mengingatkan bahawa inisiatif berkenaan akan dijalankan dari pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat menerusi kunjungan-kunjungan dan panggilan telefon ke PMKS dan dijangka berjalan sehingga September 2017. Pegawai-pegawai DARe akan menunjukkan dokumen-dokumen perlu bagi tujuan pengenalan.
Menurut DARe, Inisiatif outreach berkenaan disokong oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri sebagai inisiatif meluas dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan untuk bersama-sama memperbaiki landskap perniagaan bagi pengusaha-pengusaha PMKS tempatan.
Bagi maklumat lanjut mengenai DARe dan inisiatif berkenaan, bolehlah menghubungi talian 8363442, e-mel dare@ei.gov.bn atau berkunjung ke Bangunan Reka Bentuk & Teknologi di Anggerek Desa.