Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari budak kampung kepada pereka terkenal

    SEORANG pereka bentuk yang pernah menerima anugerah berprestij dari Indonesia, Singgih S.Kartono telah mengimbas kembali bagaimana kekecewaan ibu dan ayahnya apabila dia mengambil keputusan untuk bekerja di kampungnya, Kandangan di Temanggung, Jawa Tengah pada tahun 1995 di kala berusia 27 tahun.

    Ibu bapanya beranggapan dengan dirinya yang mempunyai kelulusan berprestij dari Institut Teknologi Bandung (ITB) itu akan memperoleh kerjaya yang lebih baik di bandar raya besar, Indonesia.

    Walau bagaimanapun, Singgih berpegang kepada keyakinannya dan berkata bahawa kampungnya itu tidak akan berkembang maju jika ia terus ditinggalkan oleh belia muda yang berpelajaran dan berpendidikan.

    Singgih tidak berasa yakin akan peluang pekerjaan di kawasan bandar yang akan menjanjikan kehidupan yang lebih baik berbanding di kawasan kampung, malah dia sangat tidak bersetuju dengan kebanyakan pendapat mengatakan bahawa tinggal di kampung, mereka akan ketinggalan berita dan juga trend semasa.

    “Salah satu perkara yang terus memotivasikan saya untuk pulang ke kampung halaman disebabkan oleh seorang penulis Amerika Syarikat (AS), Alvin Toffler yang mengatakan bahawa akan ada waktunya orang ramai akan bekerja di kawasan terpencil tetapi masih dapat berhubung dengan dunia disebabkan oleh perkembangan teknologi dan komunikasi,” kata lelaki yang berusia 50 tahun itu kepada Jakarta Post.

    Singgih menyimpan harapan untuk memperkembangkan dan membangunkan lagi ekonomi dan teknologi di kampung halamannya.

    Mencipta satu inovasi

    Pencipta basikal dari buluh yang dipanggil Spedagi itu baru-baru ini telah menunggang basikal ciptaannya bersama-sama dengan penunggang basikal yang lain dalam meraikan Hari Kemerdekaan Indonesia dari Daerah Pusat Perniagaan Sudirman ke kawasan Menteng.

    “Perjalanan ini bertujuan untuk menunjukkan kepada orang awam bahawa pereka tempatan juga boleh membuat produk inovasi walaupun mereka tinggal di kawasan kampung,” kata Singgih sambil menambah bahawa basikal Spedaginya itu telah mula dicipta sejak tahun 2013 lagi.

    Idea untuk mencipta basikal buluh itu terhasil semasa dia jatuh sakit, di mana ketika itu dia melayari Internet untuk mencari senaman yang sesuai dan dia mendapat maklumat mengenai basikal buluh di AS. Dia terkejut setelah mengetahui bahawa buluh boleh digunakan untuk membina motosikal di sebuah negara yang memang tidak banyak pokok buluh. “Mengetahui akan kelebihan buluh yang sememangnya banyak di Indonesia, saya menanamkan cita-cita untuk membuat basikal dari buluh,” kata Singgih yang juga pengasas produk kayu, Magno.

    Basikal buatannya itu dianggarkan bernilai antara 7 hingga 11 juta rupiah dan disebabkan oleh basikal itu dibuat dengan menggunakan tangan, basikal itu telah memenangi Anugerah Bronze di DFA Design for Asia Awards pada tahun 2017. Daripada segi kekuatan, Spedagi agak sedikit lemah berbanding basikal yang diperbuat dari logam.

    Singgih telah berjaya membuat perjalanan sejauh 750 kilometer dari Jakarta ke Mediun di Jawa Timur tanpa mengalami sebarang kerosakan, malah basikal ciptaannya itu telah lulus beberapa latihan yang dijalankan oleh Persatuan Pemeriksaan Kenderaan Jepun (JVIA).

    Di bawah perlesenan dari Singgih, basikal buluh jenama Spedagi Ato itu turut dicipta dan dikeluarkan di Kampung Ato, Bandar Yamaguchi, Jepun.

    “Jepun menghadapi masalah yang serupa dengan Indonesia, di mana ramai penduduk muda yang berbakat telah meninggalkan kampung halaman mereka dan memulakan kerjaya di bandar-bandar besar negara itu,” jelasnya.

    Buluh yang banyak

    Singgih merasa bertuah kerana kawasan perkampungannya itu dipenuhi dengan pokok buluh yang banyak. Seperti Kandangan, kampung-kampung di seluruh nusantara memang kaya dengan sumber-sumber semula jadi, tetapi ramai yang masih belum menyedari akan potensinya. Dia mempercayai bahawa sumber asas dari kawasan perkampungan akan menentukan masa depan dunia.

    Singgih S.Kartono, pencipta basikal Spedagi yang diperbuat daripada buluh.

    “Di kampung, penduduk akan dapat memenuhi keperluan mereka sendiri. Sebagai contoh, di Kampung Wae Rebo di Nusa Tenggara Timur, penduduk kampung akan menggunakan sumber alam yang berdekatan dengan kampung mereka untuk memenuhi keperluan asasi harian mereka. Mereka tidak menggunakan produk (bahan kilang) dari luar kampung,” kata ayah kepada dua orang anak itu lagi.

    Kampung Ciptagelar di Sukabumi, Jawa Barat yang terkenal dengan penghasilan padi turut tidak terkecuali. Di kampung ini, beras dianggap sangat berharga sehingga beras hanya akan dimakan pada ketikanya sahaja dan selebihnya tidak akan dijual walaupun di kampung jiran. “Sebab itu kita tidak akan pernah mendengar penduduk di Kampung Ciptagelar kelaparan,” kata Singgih.

    Singgih mengakui bahawa agak sedikit sukar untuk mempengaruhi belia muda yang berpendidikan tinggi untuk pulang dan sama-sama membangunkan kampung halaman mereka. Singgih telah berkongsi cerita tentang kejayaan Spedagi dalam usahanya untuk memberikan inspirasi kepada belia muda tersebut.

    Usahanya itu telah berjaya mempengaruhi beberapa belia muda sebagai contoh, belia-belia muda yang berpendidikan di Kampung Ngadiprono telah membuat keputusan untuk pulang ke kampung mereka selepas menamatkan pengajian mereka di kota-kota besar.

    Salah satu sumbangan yang besar terhadap komuniti mereka ialah mengubah taman buluh menjadi taman hijau yang sesuai untuk kunjungan kanak-kanak dan dilengkapi dengan perpustakaan dan taman permainan. Di taman ini, kanak-kanak akan dapat bermain pelbagai jenis permainan tradisional seperti gasing. Sebelum ini, kawasan tersebut dipenuhi dengan kotoran kerana penduduk tempatan menggunakannya sebagai tapak pelupusan.

    “Ketika itu, mereka tidak menyedari bahawa pokok buluh merupakan sumber semula jadi yang sangat berharga. Mereka tidak menyedari bahawa di negara-negara maju, buluh digunakan sebagai objek pengganti kayu,” kata Singgih.

    Pada hari-hari tertentu, penduduk tempatan akan menggunakan taman hijau itu untuk mengadakan aktiviti berjual yang dinamakan sebagai Pasar Papringan dan telah berjaya menarik sehingga 4,000 pengunjung termasuk dari bandar raya berdekatan seperti Yogjakarta dan Magelang.

    Pada 22 hingga 25 November ini, Singgih merancang untuk mengadakan Persidangan Antarabangsa ke-3 mengenai Revitalisasi Kampung (ICVR) di Kampung Ngadimulyo. Dua tahun yang lalu, persidangan itu telah berlangsung di Kampung Ato di Yamaguchi, Jepun.

    “Kami ingin menyakinkan orang ramai bahawa aktiviti persidangan antarabangsa boleh diadakan di kawasan perkampungan. Ia bertujuan untuk menarik lagi golongan belia muda bukan sahaja dari Indonesia tetapi juga dari negara lain bagi sama-sama membincangkan kepentingan perkembangan kampung di masa hadapan,” tambahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda