KUALA LUMPUR – Bila sebut mengenai Kelantan, selera anak jati negeri Cik Siti Wan Kembang itu, sering dikaitkan dengan budu, nasi kerabu atau singgang.
Namun, bagi Faisaa Fashrin Abd Halim Chua, 35, yang bertemu jodoh dengan wanita dari Negeri Di Bawah Bayu, kini berubah dengan meminati makanan dan masakan etnik Sabah, lebih-lebih lagi ambuyat, hidangan yang diperbuat daripada sagu rumbia.
Bekas pramugara yang berasal dari Kota Bharu itu berkata bibit perkenalan dengan isterinya, Nursitih Bayak, 35, dari Tenom membuka minatnya untuk mengenali makanan tradisi yang menjadi kebanggaan masyarakat di Sabah.
Beliau berkata walaupun baru berkahwin pada Mac lalu, mereka sudah mengenali isterinya sejak lima tahun lepas dan semenjak itulah mula meminati makanan Sabah.
“Selama saya membujang, saya tidak pernah kenal, tahu atau makan makanan tradisi Sabah. Saya hanya tahu Sabah terkenal dengan hasil laut dan jika saya ke sana, memang itu yang menjadi pilihan utama,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Faisaa Fashrin berkata isterinya yang merupakan pemilik restoran Monsoi Onsoi di Taman Maluri, Cheras, menjadi individu bertanggungjawab memperkenalkan makanan etnik Sabah kepadanya secara berperingkat.
“Menu paling saya minat adalah ambuyat yang dibuat daripada tepung sagu digaul dengan air panas sehingga menjadi kenyal dan berwarna jernih serta kenyal, kemudian dihidang bersama pinasakan iaitu ikan sardin rebus, latok dan lada putih.
“Pada saya, masakan dan makanan Sabah mempunyai keunikan tersendiri selain ia sukar didapati terutamanya di Semenanjung,” katanya yang bersama-sama menguruskan restoran menyajikan pelbagai menu makanan kaum di Sabah.
Sementara itu, Nursitih berkata beliau membuka restoran tersebut yang menawarkan hampir 30 jenis hidangan makanan tradisi etnik Kadazan, Dusun dan Murut di Sabah pada 2019 kerana kesukaran mendapatkan makanan tradisi Sabah di ibu kota.
Katanya beliau mahu berkongsi rasa masakan negeri kelahirannya yang terkenal dengan kepelbagaian budaya unik seterusnya menjadi ‘jambatan’ untuk saling mengenali dan memupuk hubungan erat antara kaum di negara ini.
Berkongsi lanjut, Nursitih berkata rasa cintanya terhadap makanan Sabah diterjemahkan menerusi Monsoi Onsoi dalam bahasa Murut yang bermaksud ‘Bagus Bagus’ bertujuan memperkenalkan budaya dan makanan negeri itu ke mata dunia.
“Secara tidak langsung, ia membantu mempromosikan hidangan turun-temurun berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman dengan memperkenalkan kepada generasi muda,” katanya sambil menambah tukang masak di premis berkenaan dibawa khas dari Sabah.
Nursitih berkata restorannya itu bukan sahaja menarik perhatian pengunjung anak Sabah yang berada di Semenanjung, tetapi juga penduduk tempatan.
“Bagi penggemar menu istimewa seperti ambuyat, lada putih, tuhau, hinava dan latok, ia boleh dinikmati di restoran ini tanpa perlu merentasi Laut China Selatan untuk merasainya.
“Bagi mengekalkan rasanya asli, kami mendapatkan bahan penyediaan juadah daripada pembekal di Sabah,” katanya yang bercadang membuka cawangan kedua di Puchong, Selangor tidak lama lagi. – Bernama