LANGFANG, CHINA – Di sebuah gudang di utara China, Liu Wei memasukan foto pasangan pengantin yang berseri-seri ke dalam mesin pencincang industri – mengubah kisah patah hati menjadi sumber elektrik.
Foto perkahwinan adalah perniagaan besar di China, di mana taman-taman, kuil dan tapak bersejarah sering dipenuhi dengan pasangan pengantin baru mengenakan gaya ketika gambar, mengabadikan ikatan yang sepatutnya tidak boleh diputuskan.
Namun, setiap tahun berjuta-juta perceraian dicatatkan dan banyak gambar perkahwinan akhirnya disimpan ke dalam loteng atau dibuang ke dalam tong sampah.
Syarikat Liu menawarkan alternatif yang mana bagi mereka yang patah hati boleh memusnahkan kenangan mereka bersama bekas kekasih dan dikitar semula menjadi bahan api.
“Dalam urusan perniagaan harian, kami mendapati bahawa melupuskan barangan peribadi masih belum banyak dibuat di seluruh negara,” kata lelaki berusia 42 tahun itu kepada AFP di kilangnya, 20 kilometer dari Beijing.






“Orang yang kurang berpengalaman dalam pasaran mungkin tidak akan nampak peluang ini,” tambahnya.
Walaupun terdapat pantang larang dalam budaya China mengenai melupuskan gambar orang yang masih hidup, Liu menerima purata lima hingga 10 pesanan setiap hari dari seluruh China.
Ia termasuk foto dinding besar dan album hiasan yang lebih kecil, kebanyakannya diperbuat daripada plastik, akrilik dan kaca.
Proses awal, pekerja akan mengangkat gambar tersebut menggunakan trak forklift dan diletakkan di atas lantai gudang untuk disusun.
Mereka menyembur cat hitam pada setiap wajah dalam gambar untuk melindungi privasi pelanggan dan memecahkan kaca yang tidak boleh pecahkan dengan tukul besi.
“Mereka ini semuanya cuba mencari pengakhiran,” kata Liu. “Terutamanya bagi mereka yang mahu meleraikan kekusutan dalam hati mereka.”
MOTIVASI KOMPLEKS
Gambar-gambar yang rosak itu memberikan sekilas pandang mengenai keluarga-keluarga yang pernah bahagia.
Salah satu gambar menunjukkan seorang wanita dalam pakaian pengantin putih yang berbaring di atas hamparan bunga. Manakala gambar lain menunjukkan pasangan yang sedang dilamun cinta saling merenung mata satu sama lain.
Ada juga gambar sepasang kekasih bergambar bersama dengan memakai pakaian sukan bola sepak yang sedondon.
Seorang lelaki mencium perut isterinya yang sedang hamil dengan penuh kasih sayang.
Sambil mencontong foto, Liu menggunakan telefonnya untuk merakam gambar-gambar yang telah dipampan dan menghantar klip video kepada pelanggan untuk pengesahan akhir.
Sejak dia melancarkan perkhidmatannya setahun lalu, dia menganggarkan bahawa dia telah mempunyai kira-kira 1,100 orang pelanggan, kebanyakannya di bawah umur 45 tahun dan sekitar dua pertiga adalah wanita.
Mereka biasanya tidak banyak bercakap tentang perpisahan mereka dan beberapa menolak permintaan temu duga daripada AFP.
Liu berkata motivasi untuk memusnahkan gambar perkahwinan selalunya rumit.
“Ada juga daripada mereka melakukan ini kerana dengki,” katanya kepada AFP.
“Mungkin barang itu menimbulkan pikiran atau perasaan tertentu… atau menjadi halangan yang sukar untuk diatasi.”
Beberapa pelanggan menghadiri sesi proses pelupusan secara peribadi untuk memberikan satu bentuk upacara sebagai babak penutup dalam hidup mereka, kata Liu.
Yang lain menyimpan foto mereka selama bertahun-tahun dan hanya membuangnya apabila mereka berkahwin semula atau menerima kenyataan tentang kematian pasangan.
Memandangkan sifat proses yang tidak dapat dipulihkan, Liu berkata dia memberi pelanggan peluang terakhir untuk menyelamatkan barang mereka sekiranya mereka menyesali keputusan mereka.
Selepas mendapat persetujuan, Liu merakamkan kakitangannya yang sedang memasukan gambar ke dalam mesin pencincang.
Serpihan itu dibawa ke loji biofuel berhampiran di mana ia diproses bersama sisa isi rumah yang lain untuk menjana elektrik.
HORMATI PILIHAN ORANG LAIN
Kadar perceraian melonjak di China yang konservatif dari segi sosial selepas undang-undang perkahwinan tidak diperketat pada tahun 2003.
Ia menurun secara mendadak sejak kerajaan menggubal undang-undang pada 2021 yang mewajibkan tempoh ‘bertenang’ selama sebulan sebelum pasangan bercerai.
China mencatatkan 2.9 juta perceraian pada 2022, turun daripada lebih 4.3 juta dua tahun sebelumnya.
Bilangan perkahwinan meningkat tahun lepas buat kali pertama dalam hampir sedekad, memberikan Beijing sedikit kelegaan kerana ia berusaha untuk memulihkan penurunan kelahiran yang teruk.
Selepas memusnahkan bukti visual beratus-ratus perkahwinan, Liu berkata dia telah menjadi kebal terhadap emosi yang timbul.
“Perasaan terdalam yang saya ada dalam hati saya terhadap pelanggan saya ialah awda mesti menghormati pilihan orang lain,” katanya.
“Awda tidak boleh sesekali memujuk orang dalam satu cara atau yang lain,” tambahnya. “Ia tidak mendatangkan kebaikan.” – AFP

