Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari kilang tekstil ke pusat kebudayaan

    HALIFAX – Dahulu menjadi pusat perdagangan global, bangunan-bangunan megah zaman revolusi industri di utara England telah mengalami transformasi menjadi pusat kebudayaan dan ekonomi yang dihormati oleh seniman seperti David Hockney, Noel Gallagher dan Sting.

    Diusahakan oleh tokoh-tokoh perniagaan tekstil pada abad ke-18 dan ke-19, struktur monumen ini direka untuk berdiri ‘selama-lamanya’ sebagai bukti kuasa dan selera mereka, yang mengambil inspirasi daripada tokoh Renaissance seperti keluarga Medici.

    Para industrialis ini menggabungkan gaya seni bina Itali dengan keindahan alam setempat iaitu batu ‘Yorkstone’ yang berwarna emas untuk mengubah landskap kawasan berbukit khususnya di West Yorkshire.

    Namun, seiring kemunduran sektor tekstil Britain selepas Perang Dunia Kedua, banyak bangunan warisan bersejarah ini rosak dan dirobohkan.

    Walau bagaimanapun, berkat wawasan yang berani daripada penjaga-penjaga terkini, beberapa bangunan bersejarah ini telah diselamatkan dan menjadi pusat kebudayaan yang mempamerkan bakat-bakat bertaraf dunia.

    Seorang lelaki melihat karya seni seramik oleh Philippa Threlfall. – AFP
    Potret Sir Titus Salt di Salts Mill. – AFP
    Gambar AFP
    Seorang lelaki duduk di sebelah karya seni oleh David Hockney. – AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    Dua contoh terbaik adalah Salts Mill berhampiran Bradford, kilang terbesar di Eropah ketika dibuka pada 1853 dan Piece Hall berhampiran Halifax.

    Ketika zaman kemuncaknya, kira-kira 5,000 pekerja menghasilkan jumlah kain yang banyak setiap hari di Salts Mill, tetapi kurang diminati ketika ia dijual pada tahun 1980an.

    Mendapat inspirasi oleh kenangan kanak-kanaknya tentang kilang tersebut, keindahan megahnya, dan persahabatannya yang lama dengan seniman tempatan yang menjadi bintang global, David Hockney, usahawan Jonathan Silver mencadangkan idea unik untuk mengubahnya menjadi sebuah galeri pada 1987.

    “Apa yang dilihatnya di sini adalah sebuah bangunan yang dijaga dengan baik dan kerana ia berada di Bradford, ia akan menjadi tempat yang sempurna untuk meletakkan galeri Hockney,” kata adik Jonathan Silver, Robin, seorang pengarah yang baru bersara dari tapak tersebut, kepada AFP.

    Silver, yang telah meninggal dunia pada tahun 1997, sebelum ini pernah mengemukakan idea tersebut kepada Hockney ketika beliau tinggal di rumah artis itu di Amerika Syarikat.

    Hockney bersedia untuk meminjam lukisan tetapi menganggap idea tersebut ‘sangat pelik’, sementara ahli keluarga Silver menganggap beliau ‘tidak siuman’, kata adiknya.

    “Ia dibuka pada bulan November dan jika awda membayangkan November di dalam kilang yang gelap, hujan lebat dan berkabus, dengan angin sejuk bertiup – tiada orang datang langsung,” katanya.

    Namun, keputusan Silver untuk mempromosikan kilang itu sebagai ‘perniagaan berasaskan budaya dan seni, yang tidak pernah terdengar di utara England pada masa itu’, berjaya.

    Kehadiran penggiat budaya telah membawa kepada perkembangan seni dan budaya di kawasan tersebut, yang telah menarik perhatian perniagaan.

    Syarikat IT, Pace Micro Technology telah memindahkan operasinya ke kilang tersebut dan kini ia mempunyai pangkalan industri berteknologi tinggi, dilengkapi dengan pameran seni, sebuah kedai buku dan restoran, merangsang pemulihan lebih meluas di kawasan tempatan.

    Pencipta kilang tersebut, Titus Salt menghantar arkitek-arkitek ke Venice bagi mendapatkan inspirasi dalam pembinaan kilang itu. Robin Silver percaya struktur itu adalah asas kejayaannya pada masa kini.

    Para industrialis Victoria melihat kilang itu sebagai ‘sesuatu yang akan wujud selama-lamanya, dan oleh itu, mereka berusaha untuk memastikan bahawa ia akan berfungsi dengan baik selama-lamanya’.

    Fokus kepada seni bina yang menarik dan kekal juga membantu mengubah Piece Hall di Halifax, kira-kira 13 kilometer ke selatan, menjadi tempat persembahan yang disukai oleh artis-artis termasuk Gallagher, Sting, New Order dan Nile Rodgers.

    Piece Hall mempunyai pintu gerbang berlapisan seperti yang terdapat di St Mark’s Square, Venice. Tetapi Piece Hall sebenarnya dibina pada 1779 sebagai pasar untuk pembuat kain
    tempatan.

    Seiring dengan perubahan industri tekstil, ia menjadi tempat pasaran umum dan ruang acara tetapi diselamatkan dari dirobohkan pada dua fasa yang berlainan, pertama pada tahun 1960an dan sekali lagi pada tahun 1980an.

    Perubahan wajah berjumlah AS$23 juta dan idea CEO Nicky Chance-Thompson untuk mengadakan persembahan muzik telah menjadi faktor penting dalam membantu Piece Hall kembali kepada kemegahannya yang asal.

    Father John Misty menjadi ahli muzik pertama yang bermain di halaman Piece Hall pada tahun 2018 selepas menjadi tuan rumah acara ‘spectacles’.

    Sejak itu, Piece Hall telah menjadi destinasi yang menarik bagi artis-artis terkenal seperti Duran Duran, Boygenius, dan The War on Drugs.

    Piece Hall menerima sokongan dan pujian daripada artis terkenal seperti Johnny Marr yang merupakan pemain gitar untuk The Smiths, membantu meningkatkan reputasi tempat tersebut sebagai tempat persembahan muzik yang istimewa.

    Noel Gallagher menyatakan bahawa persembahan di Piece Hall adalah persembahan kegemarannya pada musim panas. Nile Rodgers menggambarkan Piece Hall sebagai tempat yang mempunyai elemen magis.

    Sebagaimana yang berlaku kepada Salts Mill, Piece Hall juga menjadi pusat budaya yang menarik kedai-kedai runcit.

    Setiap pound yang dilaburkan telah menghasilkan £6 sebagai pulangan menurut penilai-penilai bebas untuk mewujudkan kegiatan ekonomi yang lebih aktif di kawasan tersebut.

    Ini juga meyakinkan kedai-kedai utama seperti Marks and Spencer untuk terus berada di Halifax, kata Chance-Thompson.

    Meskipun konsert rock mungkin tidak sejajar dengan visi asal pencipta Piece Hall, Nicky Chance-Thompson berharap pencipta tersebut akan berpuas hati kerana usaha tersebut membantu memelihara bangunan bersejarah itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda