Sunday, February 9, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari kisah gelap tirai besi, Ajis bangkit jadi usahawan perabot

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    Sebagai seorang yang telah berkali-kali terlibat dalam kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, Awang Ajis bin Awang Dollah, 54, telah menghabiskan masa di penjara sejak tahun 1991.

    Namun, timbul kesedaran apabila beliau memikirkan mengenai masa depan anak-anak dan isterinya yang turut terkesan dengan gaya hidup gelap yang dijalaninya selama ini.

    Justeru itu, beliau memutuskan untuk mengubah sikapnya dan meninggalkan kehidupan gelap masa lalunya itu.

    Ketika penulis berkunjung ke rumahnya, Awang Ajis menyambut dengan ramah dan sopan, seolah-olah beliau bukan bekas banduan yang pernah melakukan kesalahan.

    Ketika ditanya mengenai dunia gelap yang dilaluinya dahulu, raut wajahnya sedikit berubah seakan-akan tidak mahu mengingat kembali kisah lalu, namun untuk berkongsi pengalaman khas bekas-bekas banduan agar tidak merasa tersisih, beliau mula bercerita kisah silamnya.

    Awang Ajis ketika ditemui penulis di kediamannya di perumahan Mengkubau. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Setakat ini, Awang Ajis sentiasa menerima tempahan daripada orang ramai. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Ajis ketika mempersiapkan tempahan pelanggannya. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Antara peralatan bertukang yang ada dibengkelnya. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Ajis ketika menyiapkan kerja-kerja tempahan perabot untuk pelanggannya. – Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Bermulanya dunia gelap

    “Saya dilahirkan dalam kalangan keluarga yang baik, dengan pendidikan yang cukup dan pendapatan keluarga yang baik, tidak kaya, tidak juga miskin, sederhana sahaja.

    “Namun dengan pendedahan kepada barang terlarang, rasa ingin tahu saya semakin kuat dan ingin sekali mencubanya,” kongsinya.

    Awang Ajis berkata, ia bermula sekitar tahun 1990an ketika dirinya ketagih kepada jenis dadah ubat batuk atau lebih dikenali dengan panikol.

    Dia dipenjarakan pada tahun 1991 atas kesalahan memakan dadah berkenaan selama tiga tahun.

    Setelah dibebaskan selama setahun, dia tidak jera dan kembali terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat dan melakukan kesalahan yang sama sehingga dia disumbat kembali ke dalam penjara pada tahun 1994 selama tiga tahun.

    Sementara itu, mengimbas kembali pada tahun 1996, di mana dia sekali lagi telah dimasukkan ke penjara dan telah dibebaskan pada tahun 1999.

    Dia mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 dan masih bersama isterinya sehingga kini. Namun tidak lama kemudian, beliau terpaksa dihantar semula ke penjara pada tahun 2008 atas kesalahan memakan pelbagai jenis dadah dan telah dibebaskan pada tahun 2011.

    Waima demikian, Awang Ajis turut berkongsi kenangan perit yang pernah dilaluinya ketika beliau disumbatkan ke dalam penjara buat kali terakhir sekali gus menerima hukuman sebat empat kali pada tahun 2008 atas kesalahan mengedar dan menggunakan dadah jenis methamphetamine yang dikenali dengan pelbagai nama seperti syabu, ice dan batu.

    Hukuman sebat

    Menyoroti lebih lanjut, Awang Ajis yang kini merupakan seorang pengusaha kayu, secara terbuka turut berkongsi pengalaman pahit yang pernah dilaluinya. Beliau menceritakan kesakitan yang dialaminya berikutan empat sebatan yang pernah diterimanya di Penjara Jerudong. Ia masih segar dalam ingatannya hingga ke hari ini.

    “Untuk hukuman penjara kali kelima, saya dikenakan sebatan empat kali pada bahagian punggung. Peritnya memang tak tergambarkan.

    “Kulit pada bahagian anggota yang disebat itu tersiat dan penuh dengan luka.

    “Hampir sebulan saya menanggung kesakitan untuk sembuh sepenuhnya.Kawan-kawan dalam penjara turut membantu merawat kesan luka itu,” kongsinya kepada penulis.

    Akibat hukuman itu, pergerakannnya terbatas sehingga beliau terpaksa tidur dalam keadaan meniarap.

    Pengalaman sebatan memang sukar dilupakannya apatah lagi untuk digambarkan. Natijahnya, bagi mereka yang terlibat dalam apa jua kegiatan kurang sihat, beliau menasihatkan adalah lebih baik berubah sebelum terlambat.

    “Apabila dikenang semula keperitan hukuman tersebut, rasa insaf memang tak pernah hilang daripada jiwa. Saya tidak akan pernah mengulangi lagi kesilapan dulu,” ujar Awang Ajis.

    Punca terjebak dengan dadah

    Apabila menyentuh mengenai punca yang memungkinkan seseorang itu terjebak dengan penggunaan dadah terlarang, terdapat banyak faktor yang dapat disentuh antaranya termasuklah pengaruh daripada rakan sebaya dan juga masyarakat.

    Selain itu, ia juga berpunca daripada diri sendiri, di mana timbul keinginan atau kemahuan yang kuat untuk mencuba sesuatu yang baharu atau terlihat asing pada diri sendiri, di samping kurangnya sokongan serta kasih sayang daripada keluarga dan kurang pendidikan khas agama, tambahnya.

    Tanggapan masyarakat

    Setelah Awang Ajis dibebaskan dari penjara, terdapat segelintar masyarakat dan sesetengah kaum keluarga tidak mahu menerimanya dan ini menyebabkan dirinya dan juga para bekas banduan lain berasa terus terpinggir daripada menjalani kehidupan normal.

    Awang Ajis dalam perkongsiannya mengatakan bahawa bekas banduan perlu diterima tanpa stigma negatif agar mereka dapat menjadi ahli masyarakat yang berguna dan boleh menyumbang bakti kepada negara.

    Lantaran itu, Awang Ajis pernah memohon untuk mendapatkan pekerjaan, namun gagal mungkin kerana latar belakang yang tidak baik dan disebabkan itu beliau berfikir cara untuk menyara anak dan isterinya yang selama ini tetap memberikan sokongan sepanjang dia berada di penjara.

    Bertukang kayu

    Sejak dimasukkan ke Penjara Jerudong, Awang Ajis menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Penjara yang telah memberikannya peluang sekali gus pengalaman baharu.

    Awang Ajis, yang menetap di Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau, kini giat mengusahakan kerja-kerja pembuatan perabot, sesuatu yang dimulakannya selepas menjalani latihan pertukangan kayu di Penjara Jerudong beberapa tahun yang lalu.

    Dia berkongsi detik di mana dia pernah menjalani pelbagai latihan kemahiran yang ditawarkan di kemudahan penjara itu dan memilih untuk terjun dalam latihan kemahiran pertukangan disebabkan dirinya yang sangat gemar membuat perabot sehingga mendapat sambutan tinggi daripada orang ramai.

    “Pertukangan selalu menjadi minat saya, tetapi saya tidak pernah berpeluang melakukannya ketika saya masih muda kerana beberapa sebab.

    “Ketika saya berada dalam penjara selama bertahun-tahun, saya mendapat peluang untuk menjalani latihan dan mendapatkan sijil sebagai tukang kayu,” katanya.

    Di samping itu, Awang Ajis turut berazam setelah dibebaskan dari penjara, dia akan mula membuka perusahaannya sendiri dan Alhamdulillah, sambutan yang diterimanya daripada orang ramai setakat ini sa-ngat memuaskan.

    Beliau dengan bangga berkata bahawa beliau berjaya menyara keluarga tanpa memohon bantuan daripada syarikat atau orang lain.

    Malah, kini dia sering dijemput oleh pelbagai pihak untuk menyampaikan ceramah, tazkirah dan motivasi kepada orang ramai terutama kepada pegawai baharu, belia dan juga bekas banduan yang lain.

    Kenangan pahit dan manis dipenjara

    Ketika berada di dalam penjara, sudah pasti kita menyaksikan pelbagai ragam dalam kalangan banduan. Masing-masing mempunyai kisah silam dan kesalahan tersendiri.

    “Mereka yang berada dalam penjara tidak semuanya berfikiran negatif dan enggan untuk berubah. Ada yang rajin belajar agama, rajin solat sebab kami ada kelas ilmu ketika menjalani hukuman,” kongsi Awang Ajis.

    “Saya banyak bergaul dengan mereka yang cen-derung dalam bidang agama, Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat menimba ilmu tentang agama dengan lebih mendalam bersama rakan-rakan yang mahu berubah,” tambahnya.

    “Kita sepatutnya bersyukur kerana memiliki sistem penjara terbaik,” tambahnya.

    Dengan latihan-latihan dan kaunseling yang diberikan kepada para banduan di negara ini sememangnya berkesan, akan tetapi hakikatnya, ia bergantung kepada individu tersebut sama ada ingin berubah atau tidak demi kebaikan diri pada masa depan.

    “Terdapat juga sebilangan bekas banduan yang enggan berubah dan masih lagi terikat dengan kegiatan yang kurang sihat dan itu adalah pilihan mereka, kita hanya mampu memberi nasihat dan mengajak mereka ke jalan yang lurus,” ujar Awang Ajis.

    “Alhamdulillah, setelah bebas dari penjara, tempat pertama sekali saya kunjungi ialah masjid, surau dan balai ibadat yang berdekatan,” tambahnya.

    Justeru, Awang Ajis kini menjadi ahli dan diterima baik oleh Jawatankuasa Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR) dan turut terpilih sebagai salah seorang daripada ahli jawatankuasa surau serta memegang salah satu tanggungjawab di surau berkenaan.

    Kata nasihat bekas banduan

    “Bekas banduan akan berkata, menyesal melakukan kerja jahat sehingga tercampak ke dalam penjara.

    “Masa muda memang selalu buat salah tapi bukan menjadikan diri manusia yang bermasalah,” ujar Awang Ajis.

    “Saya berharap, lebih banyak agensi kerajaan khususnya syarikat-syarikat swasta dapat memberi ruang serta peluang kepada bekas-bekas banduan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat seperti biasa,” kongsinya.

    Awang Ajis juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jabatan Penjara yang telah memberikannya peluang untuk mengikuti pelbagai kursus seperti Program Rakan Seliaan dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda