Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari komik ke kelas, inspirasi seorang guru

    KUALA LUMPUR – Hobi mengumpul figura atau patung miniatur sering dikaitkan dengan dunia kanak-kanak dan remaja yang akan hilang seiring peningkatan usia.

    Namun, Muhammad Nazmi Rosli, 32, membuktikan sebaliknya apabila masih setia mengekalkan minatnya sejak berusia 18 tahun hingga kini dengan koleksi melebihi 3,000 patung miniatur terdiri daripada koleksi watak komik Marvel seperti X-Men dan DC Comics seperti Superman.

    Bukan sekadar hobi, guru Bahasa Inggeris itu juga menjadikan karakter patung yang kebanyakannya merupakan watak adiwara sebagai inspirasi dan motivasi untuk lebih memahami perwatakan murid-murid sepanjang proses pembelajaran.

    “Setiap pelajar ada perwatakan berbeza disebabkan persekitaran di rumah yang mempengaruhi mereka, dan tanpa sedar sebenarnya pelajar itu ada kemampuan yang kanak-kanak lain tidak ada, dan ini banyak berlaku dalam dunia komik”.

    “Justeru, sepertimana watak adiwira komik yang mempamerkan sisi berbeza dalam situasi berlainan, saya juga tidak sepatutnya lihat pelajar dalam konteks bilik darjah sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini. 

    Muhammad Nazmi yang berasal dari Sarawak menjelaskan, pemahaman terhadap karakter dalam komik secara tidak langsung membantu untuk mengenali sisi emosi serta konflik dalaman seseorang dengan lebih rasional.

    Bapa kepada dua orang cahaya mata itu berpandangan mengumpul figura turut membantunya bertindak lebih kreatif dalam mendidik murid-murid yang majoriti tinggal di kawasan pendalaman, termasuk mereka cipta alat bantuan pembelajaran diinspirasikan daripada watak yang diwakili patung kecil itu. 

    “Saya mengambil inspirasi daripada komik X-Men Marvel iaitu ‘Danger-Room’, iaitu pendekatan untuk bantu murid-murid tahu bayangan sebenar dunia luar memandangkan mereka tidak berpeluang merasakan itu, sebagai contoh saya buat kolam renang menggunakan plastik,” katanya.

    Kebiasaannya mendapatkan figura di kedai terpakai serta dalam talian, beliau telah memperuntukkan sebahagian kecil daripada gajinya jika mahu mendapatkan item edisi terhad dan pernah membelanjakan RM500 untuk satu patung miniatur.

    Beliau juga akan mempamerkan koleksinya secara bergilir-gilir bagi memastikan setiap figura tidak hanya tersimpan di dalam kotak.

    “Sekarang di rak saya letak lebih kurang 1,000 figura, jadi setiap malam jika ada kelapangan saya akan main dengannya, dan kemudian, selepas seminggu saya akan pilih kotak lain pula dan akan susunnya di almari secara bergilir,” jelasnya. 

    Walaupun pernah menerima kritikan kerana hobinya dianggap tidak sesuai dengan profesion perguruan, beliau tetap berfikiran positif. 

    “Saya tidak ambil endah pandangan negatif orang lain terhadap saya. Saya berpendirian kita tidak perlu takut untuk jadi diri sendiri sekiranya mahu berjaya di dunia ini,” ujarnya.

    “Selagi kita tidak berbuat jahat, maka tidak ada salahnya untuk kita pamerkan diri kita yang sebenar,” katanya. – Bernama.

    Muhammad Nazmi Rosli menunjukkan sebahagian koleksi figura atau patung miniatur dari pelbagai watak komik. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda