VIETNAM – Di kawasan berbukit di wilayah Tanah Tinggi Tengah, Lam Dong, bunyi lembut alat tenun tangan masih bergema di rumah-rumah kayu. Bagi masyarakat Chil, salah satu cabang daripada kumpulan etnik Co Ho yang lebih besar, menenun bukan sekadar kemahiran tetapi ia adalah warisan suci.
Ketika kehidupan moden perlahan-lahan menembusi kawasan tanah tinggi dengan pakaian siap pakai, pewarna sintetik dan fesyen segera, seni tenunan tangan purba itu semakin terpinggir. Kemahiran yang dahulunya diwariskan daripada ibu kepada anak perempuan kini hanya tinggal di tangan segelintir.
Di Komun Da Long yang kini merupakan sebahagian daripada Komun Dam Rong 4, Cil K’Pop yang berusia 80 tahun merupakan antara segelintir individu terakhir yang masih memiliki pengetahuan penuh tentang tenunan tradisional. Rumah beliau yang sederhana, suaranya lembut, namun misinya jelas iaitu bagi memastikan kaumnya tidak melupakan asal-usul mereka.
“Saya berumur 12 tahun ketika ibu dan nenek mengajar saya menenun,” katanya sambil duduk di sisi alat tenun kayu besar. “Sekarang saya sudah ajar anak dan cucu saya, supaya api warisan ini tidak padam.”
Walaupun sudah lanjut usia, K’Pop masih menenun setiap hari dan mengajar wanita muda di kampungnya. Sebuah selendang panjang mengambil masa tiga hari untuk disiapkan; selendang pendek sekitar sehari setengah. Beliau tidak menenun untuk keuntungan, tetapi demi melestarikan tradisi.



PANTANG LARANG YANG KETAT
Tenunan tradisional Chil bermula bukan di alat tenun, tetapi di ladang.
Dahulu, masyarakat Chil menanam kapas sendiri. Selepas dituai, kapas dijemur selama beberapa hari, kemudian diproses dengan teliti, biji dipisahkan, gentian dilentur menggunakan busur buluh, dipintal menjadi benang dengan roda pemintal dan diwarnakan menggunakan bahan semula jadi dari hutan dan sungai sekitar.
Daun yang dipetik berhampiran sungai direndam sehingga mereput, kemudian dicampur dengan abu kulit kerang, biji cili dan biji labu yang disangai untuk menghasilkan pewarna.
Pewarna itu kemudian dijemur, disimpan dan digunakan untuk mewarnakan benang kapas.
Warna yang terhasil adalah seperti merah pekat, hijau daun, kuning dan putih, warna-warna lembut namun kaya dan mampu bertahan bertahun-tahun.
Proses mewarna juga mengikut pantang larang yang ketat, tangan penenun mesti bebas daripada minyak khinzir yang dipercayai akan menghalang pewarna melekat.
Kemudian, air yang digunakan untuk mencampur pewarna mesti diambil dari mata air sebelum matahari terbit dan tidak dibenarkan orang luar dibenarkan untuk menghampiri kawasan pewarnaan, terutamanya balu atau wanita hamil kali pertama. Jika tidak, benang dipercayai akan menjadi putih atau kehilangan warnanya.
Namun kini, amat sedikit keluarga yang masih menjalankan keseluruhan proses tersebut.
Kebanyakannya sudah mula membeli benang berwarna dari pasar kerana lebih murah, pantas dan lebih memiliki kepelbagaian warna, namun hal tersebut mengabaikan nilai budaya dan kerohanian dalam kaedah lama.
Alat tenun Chil pula merupakan hasil kejuruteraan budaya. Ia mempunyai tujuh komponen utama termasuk pemijak buluh, bilah kayu seperti pisau penenun dan batang rotan untuk membentuk corak.
Penenun perlu meluruskan kaki dan menenun perlahan-lahan dengan tangan, sebuah kerja fizikal yang menuntut kesabaran dan ketelitian.
Bahkan sebelum proses menenun bermula, tahap menggulung benang (warping) memerlukan pengalaman tinggi. Benang berwarna untuk corak perlu diletakkan dengan tepat bersama benang dasar, mengikut formula yang dihafal, bukan ditulis. Proses itu biasanya hanya dilakukan oleh penenun tua seperti K’Pop.
Corak akan muncul terus dari benang dasar tiada sulaman, tiada cetakan. Motif termasuk segi tiga, zigzag, garis melengkung, titik dan berlian. Lebih 17 jenis motif digunakan, melambangkan haiwan, tumbuhan, alat rumah dan simbol abstrak.
KEGUNAAN DALAM KEHIDUPAN DAN UPACARA
Tenunan tangan dalam budaya Chil bukan sekadar kain, ia mengandungi makna rohani dan sosial.
Semasa perayaan, masyarakat Chil memakai pakaian bercorak terang seperti gaun dan cawat lelaki, dipadankan dengan barang kemas buatan tangan seperti kalung manik, gelang gangsa, anting-anting gading atau buluh. Seperti dalam upacara menamakan anak, keluarga akan menghadiahkan kain tenun kepada bayi sebagai doa untuk kesihatan dan pertumbuhan.
Kain tenun juga penting dalam adat merisik dan kematian. Sebelum pengantin lelaki membawa pulang isteri, keluarga perempuan mesti menyerahkan mas kahwin termasuk kain tenun sebagai lambang penghormatan. Apabila seseorang meninggal dunia, jenazah dibalut dengan kain tenun terbaik keluarga. Tetamu yang hadir membawa kain sebagai penghormatan, selain arak beras, ayam atau beras.
Cil K’Phang, 44, anak perempuan K’Pop, juga merupakan seorang penenun dan di samping itu beliau turut mengurus tanaman kopi.
Hasil tenunannya boleh dijual antara VND600,000 (AS$23) hingga VND800,000 dan menjana sekitar VND3 juta sebulan.
Beliau menenun mengikut permintaan seperti selendang, alas meja, skaf kepala dan selain itu beliau turut mengajar anak perempuannya, walaupun anak beliau belum mampu untuk menyiapkan sehelai penuh.
“Sekitar 20 wanita di komun kami sedang belajar menenun,” katanya.
Namun, ketika generasi muda beralih kepada pekerjaan moden, kebangkitan semula tradisi ini masih perlahan. Ramai wanita Chil kini memilih pakaian siap pakai daripada pasar berbanding kain tenun buatan sendiri. Pakaian tradisional kini hanya dipakai untuk majlis perkahwinan, gereja atau persembahan budaya.
KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG
Budaya tenunan masyarakat Chil dikelilingi oleh kepercayaan rohani. Jika hari menanam kapas bermula dengan terdengar rusa atau monyet, petani mesti berpatah balik. Bermimpi tandan pisang atau ikan dianggap petanda baik; bermimpi kematian atau memecahkan sesuatu menandakan kerja harus ditangguh.
Jika penenun terserempak dengan orang membuang air kecil semasa dalam perjalanan ke hutan mengumpul kayu untuk alat tenun, mereka mesti berpatah balik, jika tidak, alat tenun yang dibuat akan mudah rosak.
Kepercayaan itu, walaupun semakin luput, masih mempengaruhi penenun tradisional. Alat tenun bukan sekadar perkakas, ia adalah jambatan suci antara tanah, nenek moyang dan takdir.
Menurut kaji selidik Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Lam Dong, tenunan tradisional di Da Long kini di ambang kepupusan. Hanya sekitar 30 keluarga masih menenun, dan kebanyakannya hanya secara sambilan. Hanya lima penenun mahir di komun itu yang masih mengetahui proses penuh tradisional.
Lieng Hot Ha Sep, Naib Pengerusi Komun Da Long, berkata kerajaan wilayah sedang mengambil langkah. Sebuah pusat tenunan sedang dibina, tempat artisan mahir boleh bekerja bersama dan mengajar generasi muda. Kelas menjahit juga dirancang untuk membantu penenun muda menjadikan kain sebagai pakaian siap pakai.
MENENUN MASA DEPAN
Pegawai wilayah percaya bahawa artisan adalah teras pemeliharaan budaya. Tran Thanh Hoai, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Lam Dong, berkata dua program utama sedang dilaksanakan: skim vokasional tenunan dan projek pelancongan komuniti yang menyediakan pasaran kepada penenun.
“Polisi itu membantu masyarakat memperoleh pendapatan daripada kraftangan mereka,” katanya, “dan menanam rasa bangga kerana mengetahui kerja mereka telah membantu melestarikan nilai-nilai yang ditinggalkan oleh nenek moyang.”
Di Da Long, setiap helai benang mengandungi kisah. Tangan nenek membimbing cucu, corak yang diwariskan berabad lamanya, kain suci yang membalut bayi atau si mati: alat tenun bukan sekadar simbol tradisi, ia adalah jiwa yang hidup dalam diri sesuatu kaum.
Kelangsungan tenunan tangan masyarakat Chil bukan sahaja bergantung kepada dasar kerajaan atau kehendak pelancong, tetapi kepada semangat yang diwariskan secara senyap dari satu tangan ke tangan yang lain dan sama ada semangat itu masih mampu berakar di hati generasi seterusnya. – ANN/Viet Nam News

