Tuesday, November 19, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari pereka grafik jadi petani ladang timun

    KUANTAN – Bekerja di dalam studio berhawa dingin menjadi kenangan buat Muhammad Rusydan Fikri Mohd Roslan yang kini perlu menahan terik matahari dalam rutin harian menguruskan kebun timun yang mula diusahakan selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

    Anak jati Kuantan itu mula mengusahakan kebun yang terletak di Pandan di sini, sekitar Ogos tahun lepas setelah studio grafik dan pengiklanan yang menjadi punca rezekinya kurang mendapat sambutan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.

    Keadaan itu menyebabkan Muhammad Rusydan Fikri, 27, hanya sempat berada dalam bidang grafik lebih kurang dua tahun selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Visual, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 2018.

    “Saya perlu mencari alternatif lain kerana bertanggungjawab menjaga ibu sebagai anak lelaki sulung kerana sudah kematian ayah. Bapa saudara mencadangkan supaya saya menanam timun kerana menurutnya tanaman itu antara yang senang dijaga dan mudah mendapat pulangan modal.

    “Rasa takut pada awalnya memang ada kerana saya tiada pengalaman selain meminjam wang daripada ahli keluarga untuk mendapatkan modal permulaan RM8,000…ini lebih kepada mencuba kerana saya hanya sempat belajar selama beberapa jam daripada lawatan ke kebun timun di Temerloh,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di kebunnya di sini. Muhammad Rusydan Fikri berkata beliau menyewa tanah seluas satu ekar (kira-kira 0.4 hektar) bagi tujuan itu dan buat masa ini, dibantu oleh bapa dan ibu saudaranya serta seorang rakan untuk ‘mengerjakan’ kebun meliputi tugasan menyiram, membaja dan meracun mulai awal pagi hingga 6 petang. Semua penat lelah itu berbaloi apabila mereka menuai hasil pertama pada Oktober tahun lepas yang mencecah sehingga ratusan kilogram sehari sebelum timun itu diasingkan mengikut gred dan dibungkus untuk ‘ditolak’ kepada penjual pasar borong pada harga 70 sen sekilogram.

    “Kali pertama memungut hasil teringat kepada kata-kata rakan yang mempersoalkan niat saya…maklumlah kerja ini tidak popular untuk orang muda. Tapi saya seronok bekerja sendiri dan badan juga lebih sihat kerana banyak tenaga digunakan,” katanya dan menambah berat badannya susut tujuh kilogram sejak mula berkebun. – Bernama

    Pengusaha tanaman timun Muhammad Rusydan Fikri Mohd Roslan memeriksa dan mengutip timun yang sudah matang di Kampung Pandan. – Bernama
    Muhammad Rusydan Fikri Mohd Roslan (kanan) bersama pekerja mengumpul timun yang baru dipetik. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda