Tuesday, January 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dari pre-order kepada kedai mini

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tudung atau hijab merupakan perhiasan yang wajib dipakai oleh wanita Islam bagi menutup aurat mereka.

    Fesyen tudung juga semakin berubah-ubah seiring dengan peredaran zaman. Jika dahulu, kebanyakan wanita di Negara Brunei Darussalam memakai tudung bawal, kini, semakin ramai wanita dilihat beralih kepada jenis-jenis tudung yang lain seperti shawl dan sebagainya.

    “Melihat kepada perkembangan semasa di mana kebanyakan wanita terutamanya golongan muda yang semakin tertarik dengan pemakaian tudung shawl seperti semasa menghadiri kuliah atau sewaktu santai bersama kawan-kawan, maka dari situlah terdetiknya hati saya untuk mengeluarkan produk tudung plain shawl berasaskan kain heavy chiffon dengan pelbagai pilihan warna yang menarik,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh salah seorang beliawanis tanah air yang menjalankan perniagaan tudung dalam talian sejak tahun 2016, Dayang Nur Syaimaa’ binti Haji Selamat semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Bermula daripada 20 pasang tudung shawl

    Selaku pengasas dan pengurus di bawah perniagaan yang diberi nama SimplySyai, Dayang Nur Syaimaa’ menjelaskan bahawa dengan menggunakan modal hasil simpanan peribadi sebanyak $120, beliau memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan dengan memesan 20 pasang tudung shawl sebagai permulaan. Tudung-tudung tersebut ditawarkan kepada rakan-rakan terdekat beliau melalui kaedah pre-order. Setelah perniagaan beliau berkembang, beliau mula mengeluarkan koleksi tudung instock sebelum membuka kedai mini berdekatan kediaman beliau di sekitar Kampung Sengkurong.

    “Keselesaan dari segi kualiti kain dengan saiz ukuran yang lebar serta pelbagai pilihan warna yang menarik dan unik berkonsepkan warna-warna yang terang sehinggalah lembut merupakan keistimewaan produk yang saya tawarkan kepada para pelanggan demi memberikan kepuasan kepada mereka,” tambahnya, yang menawarkan tudung pada harga serendah $3 hingga $25.

    Dayang Nur Syaimaa’ semasa ditemui penulis baru-baru ini di kedai mini miliknya berdekatan kediaman beliau di sekitar Kampung Sengkurong.
    Antara koleksi tudung jenis shawl dan bawal yang ditawarkan oleh SimplySyai.

    Antara produk tudung plain shawl yang beliau tawarkan ialah Basic Shawl, Basic Cotton Shawl, Basic Fringe, dan Ophelia Shawl. Manakala, Basic Squares, Basic Crepe, dan El Square Curve merupakan tudung plain bawal yang datang dalam pelbagai koleksi warna.

    Bagi wanita yang kesuntukan masa, SimplySyai turut menawarkan koleksi tudung segera jenis plain dan bercorak.

    Cabaran tidak mematahkan semangat

    Dalam pada itu, meski sibuk menjalani kewajipan sebagai salah seorang mahasiswi tahun akhir dalam Bachelor of Health Science in Midwifery di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam (UBD), perkara tersebut tidak menghalang minat usahawan muda ini untuk terus menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara sambilan.

    Meniti dunia keusahawanan ini pastinya memiliki asam garamnya dari hari ke hari. Salah satunya ialah menghadapi ketidakjujuran pelanggan mengambil barang tempahan dalam tempoh yang ditetapkan. Begitu juga beliau pernah mengalami kerugian besar sebanyak $1200 semasa membuat tempahan daripada pembekal tudung dalam talian yang tidak jujur. Semua itu sememangnya tidak mematahkan semangat beliau bahkan itulah pengalaman pahit yang mampu mendidik dirinya agar sentiasa berjuang untuk meningkatkan prestasi perniagaannya.

    Namun beliau amat bersyukur dengan limpahan rezeki dari Allah SWT yang telah dikecapinya selama ini. Salah satu kenangan manis yang sukar dilupakan oleh beliau ialah apabila koleksi terbaharu yang dirasmikan dalam talian telah habis dijual dalam masa kurang 24 jam.

    “Walaupun penat dan kadangkala timbul perasaan kurang yakin, berkat sokongan daripada ahli keluarga yang tidak putus-putus dan sahabat handai yang sentiasa berada di sisi sambil membantu mempromosikan jualan tudung sehingga sekarang sedikit sebanyak telah membantu saya untuk terus bangkit.

    “Merekalah insan-insan pencetus kejayaan saya selama ini,” ucap Dayang Nur Syaimaa’ dengan nada penuh kesyukuran.

    “Sentiasa berfikiran positif dan terokailah dunia keusahawanan meskipun secara kecil-kecilan, namun mestilah berbekalkan perancangan yang bijak dengan mengeluarkan produk atau barangan dengan daya kreativiti yang menarik dan unik di mata pelanggan,” itulah antara nasihat yang diberikan oleh Dayang Nur Syaimaa’ kepada golongan belia yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda