Wednesday, February 12, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daripada cef maya ke dunia nyata

    LOS ANGELES – Tue Nguyen menjadi bintang TikTok dengan menghasilkan video memasak hidangan Vietnam semasa pandemik.

    Dengan sekatan pergerakan telah berakhir, cef muda ini berpindah dari dunia maya ke dunia nyata dengan membuka restoran pertamanya dekat Los Angeles.

    “Saya rasa ia seperti impian,” kata Nguyen, 25 tahun, memberitahu AFP baru-baru ini di Di Di, restorannya di pinggiran sub bandar di West Hollywood.

    “Tapi, sejujurnya saya tidak tahu ia akan berlaku sebegini pantas.”

    Nguyen menghadiri sekolah kulinari untuk mempelajari asas kemahiran masakan, tetapi katanya dia benar-benar menguasai ilmu gastronomi apabila dia mula mempelajari warisan nenek moyangnya.

    Cef Tue Nguyen memasak Nasi Goreng Didi sebelum membuka restoran pertamanya di restoran Di Di di Barat Hollywood, California pada 10 Julai. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Seorang peminat melihat akaun TikTok Cef Tue Nguyen. – Gambar AFP
    Cef Tue Nguyen menampilkan hidangan nasi gorengnya. – Gambar AFP
    Cef Tue Nguyen membawa hidangan di restoran pertamanya yang bakal dirasmikan. – Gambar AFP

    “Saya sebenarnya tidak belajar memasak sehingga saya betul-betul mengimbas kembali apa yang ada bersama saya seiring saya membesar. Dan itulah rasa masakan ibu saya.”

    Nguyen yang berpindah ke Amerika Syarikat dari Vietnam bersama keluar-ganya semasa kanak-kanak, menganggap ibu dan bapa tirinya sebagai penga-ruh utama di dapur.

    “Mereka mengingatkan saya setiap kali saya berada di dapur untuk memasak, untuk menyediakan makanan yang baik dan mempercayai cita rasa sendiri,” kata Nguyen.

    TwayDaBae Ddikenali di media sosial, Nguyen pertama kali bermula dengan memuat naik video mukbang atau video di mana orang memaparkan diri mereka makan secara langsung.

    Tetapi video memasaknya yang membuatnya benar-benar popular dalam platform seperti TikTok.

    Nguyen mula memuat naik di media sosial hanya untuk berseronok, tetapi dia cepat menyedari orang mempunyai selera tidak hanya untuk makan tetapi juga untuk belajar mencipta semula makanan itu sendiri.

    “Dan situlah saya sedar okey saya akan mengambil peluang ini sebagai cara bagi saya tidak hanya untuk belajar tetapi juga mengembangkan gaya memasak saya dan mencari cita rasa saya di dapur.”

    Tidak seperti tukang masak lain yang mendapat populariti dari restoran sebelum mereka menjadi selebriti media sosial, Nguyen mencuba pendekatan yang berbeza dan mulai membawa hidangan dalam talian ke dunia nyata di tempat-tempat restoran sementara.

    Lokasi penampilan pertamanya adalah tempat dia kemudian membuka restoran Di Di.

    Dengan ratusan ribu pengikut dalam Instagram, YouTube dan TikTok serta jutaan tanda suka pada videonya, Nguyen tidak fikir berkongsi resipi dengan dunia akan merugikan perniagaan restorannya.

    “Banyak kali resipi saya dalam talian sangat mudah diikuti,” kata Nguyen.

    “Di sini,” kata Nguyen tentang Di Di, “ia lebih bersinar.”

    Penuh dengan kerusi berlengan besar dan lampu emas serta dihias dengan tumbuhan tropika, Di Di – frasa Vietnam untuk ‘Mari kita pergi’ membuka pintunya baru-baru ini.

    Nguyen, yang mengendalikan setiap perincian di Di Di, menggambarkan gaya masaknya sebagai gabungan teknik yang dipelajari di sekolah kulinari dengan cita rasa masakan ibunya sejak kecil.

    Nguyen berharap jenama peribadinya ini akan membantunya berjaya dalam pentas gastronomi Los Angeles yang kompetitif.

    “Saya mempunyai kisah saya. Saya mempunyai hati saya. Itulah yang menjadikan tempat ini istimewa,” katanya.

    “Restoran ini adalah tentang meraikan budaya yang membesarkan saya dan satu gambaran yang saya amat banggakan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda