WUHAN – Di sebuah bengkel kecil di Wuhan, wilayah Hubei, elemen-elemen tradisional Cina seperti naga dan burung jenjang bukan lagi sekadar lukisan pada dinding atau sutera, ia kini diabadikan pada kasut sneakers.
Di sebalik karya unik itu ialah Wang Qing, pelajar pascasiswazah berusia 26 tahun di Sekolah Seni dan Reka Bentuk, Universiti Teknologi Wuhan.
Walaupun pengkhususannya adalah dalam reka bentuk landskap, Wang memilih haluan yang tidak disangka iaitu menggabungkan motif budaya tradisional Cina dalam fesyen jalanan kontemporari.
“Saya suka mendeklamasikan puisi Cina sejak kecil dan sangat terpesona dengan keindahan maksud di sebalik bait-baitnya,” katanya. “Walaupun ketika itu istilah ‘China chic’ belum wujud, budaya tradisional sudah lama mempengaruhi imaginasi saya.”
Asas budaya ini membentuk naluri reka bentuknya, sehingga satu ketika pada tahun 2022 apabila dia secara spontan membaiki kasut papan luncur yang koyak dengan melukis corak kartun gaya Cina padanya. Ketika itulah tercetus idea budaya yang boleh dipakai.

Titik perubahan berlaku semasa perjumpaan Tahun Baru Cina pada tahun yang sama apabila Wang bertemu semula dengan seorang rakan yang menghasilkan kraftangan secara manual di Kunming, wilayah Yunnan. Minat mereka terhadap reka bentuk dan tradisi membawa kepada penubuhan Wuhan Yixin Creative Technology Co. Ltd.
Falsafah reka bentuk Wang berakar umbi dalam budaya Cina iaitu lukisan dakwat, puisi kuno, cerita rakyat, dan mercu tanda bersejarah.
“Terlalu banyak unsur budaya tradisional yang hebat, dan kami percaya apabila diaplikasikan pada sneakers, ia menjadi khazanah budaya yang tidak ternilai,” jelas Wang.
Salah satu koleksi paling popularnya diinspirasikan daripada filem animasi White Snake (2019), adaptasi moden daripada legenda klasik Cina. Reka bentuk kasut menampilkan seekor naga yang melingkar mengelilingi lambang kasut, berlatar belakang gunung berkabus. Pada bahagian tumit pula muncul siluet dari celahan awan yang membangkitkan suasana romantik dan misteri.
Selain cerita rakyat, karya Wang turut menerapkan warisan serantau. Sebagai contoh, siri Waking Lion merupakan penghormatan kepada tradisi tarian singa di wilayah Fujian.
Namun bagi Wang, hal itu bukan sekadar perhiasan.
“Ia bukan semudah menyalin simbol dan mencetaknya pada kasut,” ujarnya.
“Kami pertimbangkan bentuk kasut, strukturnya, dan bagaimana setiap elemen reka bentuk saling melengkapi.”
Latar belakang akademiknya dalam seni bina landskap memberikannya kelebihan tersendiri. Wang percaya bahawa prinsip asas reka bentuk termasuk struktur, keseimbangan, dan keharmonian boleh diaplikasikan merentas pelbagai bidang.
“Apabila saya mereka bentuk halaman seluas 50 meter persegi, saya fikir tentang susun atur tumbuhan, corak lantai, elemen air, semuanya mengenai komposisi,” katanya.
“Sneakers mungkin kanvas yang lebih kecil, tetapi logik reka bentuknya tetap serupa.”
Bagi memastikan kualiti tinggi, Wang dan pasukannya mengembara ke pasaran bahan kasut utama di Houjie, Guangdong dan Quanzhou, Fujian untuk mendapatkan bahan yang lebih baik. Hasilnya, kasut mereka 30 peratus lebih tahan calar berbanding produk kraftangan setanding.
Apabila berdepan isu warna luntur, Wang berunding dengan penyelidik doktor falsafah dalam bidang sains bahan di universitinya dan membangunkan formula pigmen yang mengekalkan kepekatan warna sambil meningkatkan ketahanan haus. Pasukan mereka juga mewujudkan pangkalan data reka bentuk sendiri dan menggabungkan sistem padanan warna AI. – ANN/China Daily

