PARIS – Daripada pokok salad yang ditanam berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit New York kepada koridor pokok-pokok yang menghuni tepi jalan yang lengang di Colombia, inisiatif hijau telah dilaksanakan secara pesat di bandar-bandar seluruh dunia.
Ketika sekatan koronavirus menekankan keperluan untuk mengusahakan alam semula jadi di kawasan bandar, AFP telah mengumpul gambar-gambar projek untuk mengoptimumkan ruang bandar yang amat berharga itu.
Inisiatif penanaman semula telah dilancarkan sejak awal abad ke-21 ketika matlamat pembangunan bandar berubah dan kebimbangan mengenai pemanasan global semakin meningkat.
Di sembilan bandar di dunia, disebabkan skim penanaman di dinding dan bumbung, suhu semasa bulan paling panas di jalan raya – diapit oleh bangunan pencakar langit di kedua-dua bahagian – boleh dikurangkan sebanyak 3.6 hingga 11.3 darjah Celsius pada masa paling panas, menurut laporan oleh Agensi Peralihan Ekologi Perancis.
Ruang hijau juga menunjukkan kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik, termasuk mengurangkan stres, kerisauan dan kemurungan, mempertingkat tumpuan serta kesihatan fizikal lebih baik, kata Stephanie Merchant dari jabatan kesihatan Universiti Bath.
Maka, adakah kesemua projek penanaman semula bandar berbaloi?
Untuk sesuatu skim dilihat sebagai bersifat ‘mulia’, ia mesti memenuhi seberapa banyak fungsi mungkin, kata ahli ekonomi dan perancang bandar Jean Haentjens, yang menulis bersama buku ‘Eco-urbanisme’, kepada AFP.
Selain mengurangkan suhu, beliau berkata ia juga harus memelihara biodiversiti, meningkatkan kesejahteraan, menambah kesedaran, menjadi tarikan serta sesuai dari segi konteks sosialnya.
Bercucuk tanam di bumbung NY
Dikelilingi bangunan tersergam megah, Statue of Liberty dan lalu lintas sibuk di bawah, ladang di atas bumbung Brooklyn Grange menghasilkan lebih 45 tan tanaman organik setahun.
Dilancarkan kira-kira satu dekad lalu oleh rakan yang menetap di New York yang ingin ‘sebuah ladang kecil mapan yang beroperasi seperti perniagaan,’ kata pengasas bersama Gwen Schantz.
Di bandar itu, Simay berkata ia mendapati inisiatif itu ‘mampu memerangi kepanasan pulau’ di mana konkrit dan asfalt menjadikan bandar lebih panas dari kawasan sekitar mereka.
Kini merangkumi tiga bumbung, dengan keluasan berjumlah lebih 22,000 meter persegi, ladang itu menghasilkan pelbagai jenis sayur.
Namun ia perlu mengehadkan kedalaman tanah kepada kira-kira 30 sentimeter dan ‘mengairi tanah lebih kerap disebabkan ia kering dengan amat cepat, menurut Schantz.
Doussard berkata logistik perladangan atas bumbung, di mana air dan tanah mesti diangkat naik dan hasil keluaran dibawa turun, bermakna: “Ladang mesti menguntungkan kerana terdapatnya banyak sekatan.”
Daripada hidup di hutan pencakar langit Milan…
Menghiasi dua pangsapuri pencakar langir dari atas hingga ke bawah dalam lebih 20,000 pokok dan tumbuh-tumbuhan, arkitek Stefano Boeri berkata beliau mahu menjadikan pokok-pokok ‘komponen asas seni bina’ dan mencipta sesuatu yang dapat ‘menyumbang kepada pengurangan pencemaran.’
The Bosco Verticale di bandar Milan menyaksikan pokok ceri, epal dan zaitun melimpahi beranda selain bic, dipilih dan ditempatkan berdasarkan ketaha-nannya terhadap angin dan lebih suka cahaya matahari atau kelembapan.
Menurut Simay, projek dilancar tahun 2014 itu merupakan ‘satu kejayaan teknikal yang tidak dapat dipertikaikan dengan fungsi ekosistem, pelbagai jenis pokok, tumbuhan dan serangga.”
Namun beliau menambah konkrit dan keluli diperlukan untuk menyokong kesemuanya, sementara kos membinanya amat mahal.
…kepada perladangan di Copenhagen
Bermandikan cahaya ungu, hasil tanaman seperti pokok salad, herba dan kubis daun bercambah di rak-rak berlapis dari lantai hingga siling dalam gudang besar di zon industri Copenhagen.
Robot-robot kecil menghantar dulang benih dari lorong ke lorong di ladang tersebut, dibuka oleh firma baharu Belanda Nordic Harvest pada Disember.
Hasil keluaran akan dipetik 15 kali setahun meskipun tidak pernah melihat tanah atau cahaya matahari – 20,000 mentol lampu LED khas akan meneranginya sepanjang masa.
Keperluan untuk mendapatkan cahaya merupakan salah satu halangan untuk Simay, yang juga menekankan kos keseluruhan.
Namun pengasas Nordic Harvest dan ketua eksekutif Anders Riemann menekankan faedah hasil keluaran yang ditanam berdekatan dengan pengguna, membebaskan tanah pertanian yang boleh ditukar semula kepada hutan.
Bagi Haentjens, ia mewakili ‘satu laluan menarik,’ bergantung pada konteks. “Namun kami dapat menjadikannya model masa depan,’ katanya.
Riyadh tanam pokok besar-besaran
Mana-mana tumbuh-tumbuhan hijau di Riyadh hari ini hampir lenyap antara lebuh raya pelbagai lorong dan persimpangan besar, namun dalam masa sembilan tahun, bandar itu merancang menambah 7.5 juta pokok.
Penghutanan semula membentuk sebahagian inisiatif hijau bernilai AS$11 bilion yang juga termasuk menubuhkan 3,000 taman di ibu negara Saudi.
Ia memerlukan satu juga meter padu air sehari, yang merupakan air dikitar semula dari rangkaian penyaliran, kata laman web Riyadh Green.
Namun ia akan menyumbang kepada pengurangan suhu biasa sebanyak satu atau dua darjah Celsius dan menambah kualiti kehidupan dengan pencemaran udara dan debu yang berkurangan, menurut ketua projek Abdelaziz Moqbel.
“Memperkenalkan semula pokok-pokok di padang pasir adalah amat mulia, anda mendapat faedah dari segi penyejukan,” kata arkitek dan perancang bandar Cedissia About.
Namun, beliau menambah, persoalan besar yang timbul adalah sama ada produk tumbuhan-tumbuhan, yang menakutkan burung dan serangga, digunakan apabila matlamatnya adalah untuk merangsang biodiversiti.
‘Koridor hijau’ Medellin
Bandar kedua terbesar Colombia telah menerima anugerah atas ‘koridor hijaunya’, rangkaian saling berkaitan yang telah mengubah lebuh raya yang kekurangan ‘kehijauan’ dan dicemari sampah dan penagih dadah.
Kini koridor yang ditanam dengan 30 pokok dan bunga menghubungkannya dengan ruang hijau Medellin seperti taman dan kebun.
Kesan keseluruhan telah mengurangkan suhu sebanyak dua darjah Celsius dan membantu membersihkan udara, menurut video pihak berkuasa bandar.
Lebah dan burung telah kembali, penduduk menyertai kerja-kerja berkebun yang diwujudkan, tambahnya.
“Ia merupakan contoh penanaman bandar yang lebih baik, didorong oleh dasar yang menambah biodiversiti, dengan dimensi sosial,” kata Simay.
Pangsapuri Chengdu bertukar hutan
Ia menjanjikan penghuni kehidupan bandar besar China dalam hutan pencakar langit, dengan tumbuh-tumbuhan subur di beranda mereka.
“Kualiti udara adalah baik apabila anda bangun pada pagi, dan pokok-pokok hijau adalah baik untuk orang tua,” kata Lon Dengying, yang tinggal di salah satu daripada lapan menara yang membentuk Taman Hutan Bandar Qiyi di Chengdu yang dibuka pada 2018.
Sesetengah bahagian kelihatan seperti ran yang bertenggek dalam hutan tropika, sementara tempat lain dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan mereka sendiri, bagaikan hutan yang menjalar merimbun teres bangunan. – AFP