Gambar AFP
DAFEN, CHINA – Pelukis-pelukis di sebuah perkampungan Cina yang pernah satu ketika dulu terkenal kerana menghasilkan replika karya-karya terbaik Barat kini sedang menghasilkan seni asli bernilai ribuan dolar dan menjual karya-karya mereka sendiri di pasaran seni domestik yang berkembang pesat.
Dafen, terletak di selatan China dan mempunyai lebih daripada 8,000 orang artis, telah menghasilkan salinan hampir sempurna karya-karya terbaik sepanjang tahun.
Pada masa kegemilangannya, tiga daripada lima lukisan minyak yang dijual di seluruh dunia dihasilkan di kampung tersebut, dan selama bertahun-tahun, pelukis-pelukis di kampung itu menjual salinan mereka kepada pembeli di seluruh Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport mulai merosot selepas krisis kewangan global pada tahun 2008, dan hampir terhenti apabila China menutup sempadan pada tahun 2020 disebabkan pandemik koronavirus.
Beberapa pelukis berhenti dan menutup studio mereka. Namun yang lain melihat halangan sebagai peluang untuk memantapkan diri mereka sebagai pelukis tersendiri dengan memenuhi permintaan di pasaran seni China – pasaran kedua terbesar di dunia, dengan jualan meningkat sebanyak 35 peratus pada 2021.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/05/P20-3A_18052023.jpg)
Pelukis yang belajar sendiri, Zhao Xiaoyong pernah menjual replika karya Vincent van Gogh dengan harga sekitar 1,500 yuan (AS$220) setiap satu, sementara karyanya yang asli dijual dengan harga sehingga 50,000 yuan, katanya.
Apabila Zhao berpindah ke Dafen dari China tengah pada tahun 1997, keluarganya berkongsi sebuah apartmen dua bilik yang kecil bersama lima penyewa lain.
“Pada masa itu, wujudnya sistem gaya pengeluaran, di mana setiap pelukis melukis satu bahagian kecil dalam karya yang lebih besar, seperti mata atau hidung, sebelum menyerahkan karya tersebut kepada pelukis lain untuk melukis anggota badan atau lengan baju,” beritahunya kepada AFP.
Selepas bertahun-tahun menghasilkan karya terbaik tiruan, Zhao akhirnya berjaya mengumpulkan wang yang cukup untuk melawat Muzium Van Gogh di Amsterdam dan Saint-Paul Asylum di selatan Perancis, di mana pelukis terkenal itu melukis ‘The Starry Night’.
“Saya merasakan akhirnya saya dapat memasuki dunianya dan bukan hanya meniru coretan berusnya,” kata Zhao.
“Saya sedar saya perlu keluar daripada bayang-bayang Van Gogh dan menghidupkan pemikiran saya sendiri.”
Kini dia menceritakan bagaimana kampung lukisan minyak Dafen telah berubah, menggunakan gaya Van Gogh: satu kanvas menunjukkan Zhao di bengkel yang sesak memegang salah satu potret diri pelukis Belanda itu, sementara rakan-rakan pelukis tidur di atas meja mereka.
Rangsangan pelancong
Sejak China membatalkan dasar sifar COVID pada akhir tahun 2022, jalan-jalan di Dafen kembali dipenuhi dengan pengunjung yang bercangkung di depan kekuda dan melukis menggunakan cat minyak di kanvas.
Selain terbabit dalam budaya seni dengan kursus melukis, ramai pelancong datang untuk membeli karya daripada penduduk desa, tetapi hasrat mereka untuk mendapatkan tawaran yang baik juga menjadi faktor lain di sebalik kemerosotan pasaran tiruan buatan tangan.
Di sebuah lorong, pekerja memberus cat pada kanvas cetakan ‘Madonna dan Anak’ oleh Duccio.
Ia dijual pada harga yang sangat rendah, serendah 50 yuan setiap satu, sementara salinan lukisan buatan tangan harganya mencecah 1,500 yuan.
“Kami melukis beberapa coretan di atas gambar cetak untuk membuatnya kelihatan seperti lukisan minyak asli,” kata seorang pelukis yang enggan disebutkan namanya.
“Pembeli fikir latar belakang dilukis menggunakan cat air.”
Estetik China
Seorang lagi pelukis yang berpusat di Dafen dan berusaha untuk beralih daripada lukisan tiruan adalah Wu Feimin, yang telah menciptakan pasaran tersendiri dengan menjual karya seni bertema Buddha.
“Dulu saya meniru karya-karya Picasso, dan sekarang saya mempunyai gaya saya tersendiri,” kata Wu, sambil melukis wajah besar Buddha dengan pisau palet.
“Satu lukisan biasa mengambil masa berminggu-minggu, ada kalanya berbulan-bulan untuk siap,” kata pelukis itu ketika dia bersiap-siap untuk pameran di kampung dan pusat industri Guangzhou.
“Ia berisiko, tetapi margin keuntungan adalah lebih baik.”
Pelukis lain memberitahu AFP mereka kembali ke sekolah semasa pandemik mempelajari cara-cara melukis gunung dan pohon willow yang dilihat dalam lukisan landskap tradisional China.
“Pembeli kaya di China mahu seni yang mencerminkan estetik China,” kata Yu Sheng, seorang guru seni yang menggunakan peluang itu untuk melatih semula dalam gaya klasik.
Sementara dia terus mencari nafkah dengan mengeksport replika karya-karya Barat, dia juga mencipta karyanya sendiri, bertekad menembusi pasaran domestik yang lebih menguntungkan dan menjadi pelukis potret untuk orang kaya.
Dan dia yakin dalam kemampuannya berbanding artis dari sekolah-sekolah terkenal.
“Teknik kami lebih baik kerana kami melukis setiap hari, tetapi kami tidak mempunyai kontak dengan peniaga seni di bandar-bandar besar,” katanya.
“Kami bergantung pada pengiktirafan pembeli seni China untuk terus hidup – kami mesti belajar untuk melentur seperti buluh.” – AFP