Daripada minat jadi usahawan dalam talian berjaya

Oleh NURDIYANAH R.

Gambar serahan Dayang Siti Noor Azriyah

Siapa menyangka hanya bermula daripada minat dalam pembelian koleksi pakaian fesyen terkini dalam talian, telah mendorong insan ini untuk melangkah ke dunia perniagaan secara kecil-kecilan sejak tahun 2016 lagi.

Yakin dan optimis tanpa berdalih itulah kekuatan prinsip yang selalu tersemat dalam diri Dayang Siti Noor Azriyah binti Sallehuddin, 26, dalam memberanikan diri untuk menceburkan diri ke dunia keusahawanan dalam talian yang lebih berkonsepkan barangan preorder pakaian fesyen terkini.

“Inilah mata pencarian sepenuh masa yang saya jalankan sehingga kini, saya percaya rezeki itu ada di mana-mana meski pun lumrah berjual beli ini memiliki pasang surutnya.

“Lebih menyeronokkan lagi, saya menyukai pelbagai pakaian fesyen mengikut trend kerana bagi saya kebanyakannya unik dan sukar didapati di pasaran negara kita,” antara luahan tulus salah seorang peserta yang menyertai Program Usahawan Berkarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) pada tahun 2019.

Program memperkasa jiwa keusahawanan

Dayang Siti Noor Azriyah yang menjalankan perniagaannya dalam talian secara sepenuh masa ini turut merakamkan kesyukuran di atas peluang mengikuti Program Usahawan Berkarih Yayasan beberapa tahun lalu kerana melaluinya ia telah membantu dirinya untuk lebih yakin dalam mengetengahkan produk barangan jualannya kepada orang ramai terutamanya para pengikut perniagaan dalam talian.

Pengalaman manis ketika Dayang Siti Noor Azriyah ketika menyertai salah sebuah acara jualan ekspo yang berlangsung di negara ini beberapa tahun lalu.

Antara barangan preorder yang diketengahkan oleh Dayang Siti Noor Azriyah, yang mana antaranya blouse, dress, cardigan, baju-t, kasut dan juga variasi beg yang pastinya memiliki keistimewaan yang tersendiri.

“Alhamdulillah beberapa kegiatan yang dianjurkan oleh pihak Yayasan di bawah program tersebut terutamanya beberapa bengkel atau kursus keusahawanan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei.

“Segala pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang mengikuti kegiatan-kegiatan itu sememangnya membantu diri ini untuk lebih memperkasakan dunia keusahawanan lebih bersistematik merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya,” kongsinya.

Pelbagai produk pakaian fesyen preorder terkini yang diketengahkan, antaranya blouse, dress, cardigan, baju-t, seluar jenis palazzo dan jeans dan sebagainya. Selain itu, beliau turut menjual variasi beg berjenama yang pastinya memiliki gaya keistimewaan yang tersendiri.

Bangkit tempuhi cabaran pandemik

Menyentuh mengenai pengalaman beliau berniaga semasa pandemik, Dayang Siti Noor Azriyah tidak menafikan pernah mengalami penurunan dari segi jualannya, lebih-lebih lagi ketika gelombang pertama wabak tercetus di negara ini.

“Jujur saya merasa terkesan terhadap impak penularan pada mulanya, selama sebulan saya menjadi kurang fokus meneruskan perniagaan.

“Namun dengan izin Allah SWT jua diikuti dengan sokongan semangat daripada ahli keluarga terdekat dan sahabat-handai, saya berusaha untuk mencabar diri ini supaya bangkit dan fokus terutamanya dari segi strategi pemasaran demi meningkatkan prestasi jualan.

“Kini sambutan daripada orang ramai mengikuti tempahan produk barangan preorder yang diketengahkan semakin memberangsangkan dari hari ke hari,” ujarnya dengan nada kesyukuran.

Ingin belajar menjahit suatu hari nanti

Dalam meniti bidang penjualan, insan berjiwa positif ini turut memiliki perancangan di masa akan datang untuk mempelajari seni jahitan khususnya dalam menghasilkan produk busana wanita dengan rekaan gaya dan keistimewaan tersendiri.

Apa yang pasti, jika beliau diberi peluang lagi, beliau ingin mengikuti pelbagai kegiatan keusahawanan yang diketengahkan oleh pihak Yayasan pada masa datang. Tambah beliau, ilmu itu suatu yang perlu diterokai oleh seorang usahawan dari semasa ke semasa tidak kiralah usahawan itu masih baharu mahu pun sudah lama demi memantapkan apa sahaja bidang perniagaan yang diceburi.

Yakin rezeki dari Allah SWT

Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun Dayang Siti Noor Azriyah tetap optimis dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.

“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini.

Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya.

“Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit,” katanya.

“Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata lain setiap usaha yang kita perlukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkanNya” nasihat beliau dengan penuh keyakinan kepada masyarakat di negara ini khususnya golongan belia agar sentiasa memiliki jiwa berkarih, berjarih dan belurih dalam meniti kehidupan sehari-hari.