Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Daripada tuaian taman menjadi jeruk

    Oleh Jessica Damiano – 

    September sudah tiba dan saya masih belum menuai sebiji pun tomato merah. Bit pula masih sebesar anggur dan, setakat ini, empat pokok saya hanya menghasilkan dua zucchini. Tetapi kacang hijau? Ia tiba-tiba berbuah lebih cepat daripada yang sempat saya makan.

    Saya sudah mencelur dan membekukan beberapa beg untuk musim luruh dan musim sejuk dan kerana kelainan, saya baru sahaja membuat berbotol-botol jeruk.

    Sejak seumur hidup menjadi penggemar berkebun, saya tidak lagi terkejut dengan turun naik hasil tuaian tahunan.

    Beberapa tahun lalu, tanaman saya hanya menghasilkan sebatang kacang, yang saya kukus, taburkan garam dan potong empat untuk dikongsi bersama keluarga. Rasanya enak, tetapi sayangnya tidak cukup untuk dijadikan jeruk.

    Tahun ini, kekurangan tomato saya diimbangi dengan limpahan kacang hijau yang banyak.

    Kacang hijau jeruk dihidangkan di atas pinggan hiasan di Long Island, New York. – AP
    Kacang hijau yang baru dipetik di dalam balang berisi air jeruk terpakai. – AP

    Oleh sebab saya tiada kesabaran untuk proses pengetinan bertekanan, semua jeruk saya buat dengan cara cepat dan mudah di dalam peti sejuk. (Selain menjeruk, saya biasanya mengawet herba dan sayur-sayuran dengan cara mengeringkan atau membekukannya.)

    CARA SAYA BUAT JERUK HASIL TUAIAN

    Cara paling mudah ialah menggunakan semula air rendaman daripada balang jeruk yang baru habis digunakan. Saya hanya perlu membasuh dan mengeringkan kacang hijau, kemudian masukkannya ke dalam air jeruk dan simpan kembali balang itu di dalam peti sejuk.

    Dengan cara pintas ini, saya boleh menikmati kacang hijau jeruk dalam masa hanya 24 jam dan ia kekal rangup sehingga sebulan. Malah air jeruk itu boleh digunakan sekali lagi untuk membuat kumpulan kedua.

    Jika tiada lebihan air jeruk, ia mudah sahaja untuk dibuat: Rebus 1 ½ cawan air dan 1 ½ cawan cuka putih suling bersama 1 ½ sudu besar garam kosher dan 1 sudu besar rempah jeruk dalam periuk tidak berkarat (keluli tahan karat adalah terbaik).

    Gula adalah pilihan; saya tidak menggunakannya, tetapi tidak mengapa jika mahu menambahkannya untuk rasa jeruk yang lebih manis. Matikan api apabila garam dan gula, jika digunakan, larut sepenuhnya.

    Kemudian, masukkan 5–10 tangkai dill, 3–4 ulas bawang putih yang diketuk dan sedikit lada merah kering (jika mahu) ke dalam balang Mason bersaiz kuart yang telah dibersihkan dan disterilkan.

    Isikan balang dengan kacang hijau yang sudah dipotong hujungnya, kemudian tuangkan larutan cuka tadi, tinggalkan ruang kira-kira 1 inci di bahagian atas balang. Biarkan ia sejuk pada suhu bilik sebelum ditutup dan dimasukkan ke dalam peti sejuk.

    Air jeruk yang baru dibuat boleh digunakan semula dua kali, untuk menghasilkan tiga kumpulan keseluruhan.

    TIMUN DAN PELBAGAI LAGI!

    Sudah tentu, bagi yang lebih suka cara tradisional, kaedah ini juga boleh digunakan untuk membuat jeruk timun. Timun boleh dipotong baji, hirisan suku inci, atau gunakan timun khas untuk jeruk seperti kirby. Jika menggunakan timun sebiji penuh, buangkan hujung bunganya tetapi biarkan hujung batang kekal.

    Jika rasa ingin mencuba sesuatu yang berbeza, pelbagai jenis buah dan sayur lain juga boleh dijerukkan dalam peti sejuk.

    Cuba dengan asparagus, bit, tomato hijau hujung musim (dipotong baji), atau lada manis dan pedas. Malah ceri, hirisan pic dan kulit tembikai juga boleh dijerukkan satu hidangan istimewa dari Selatan yang baru-baru ini menjadi snek mengejutkan tetapi lazat bagi saya di Utara.

    Gunakan garam, cuka dan air seperti biasa, tetapi bebas untuk melaraskan perisa dan rempah mengikut cita rasa.

    Contohnya, saya menambah gula apabila menjeruk buah dan menggantikan rempah jeruk dengan halia, kayu manis atau bunga cengkih.

    Pelbagai makanan berinspirasikan jeruk daripada kerepek hingga gula-gula getah semakin popular sejak kebelakangan ini, tetapi tiada yang lebih baik daripada jeruk sebenar.

    Dengan begitu banyak variasi rasa untuk diterokai, apa yang perlu dilakukan hanyalah mengikut selera sendiri. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda