Darjah pra agama catat 5,764 kemasukan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, hari ini, telah meneruskan lagi siri lawatan kerjanya ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Zulkifli bin Penglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Ajijah binti Haji Moktal.

Ketibaan Yang Berhormat Pehin dan rombongan dialu-alukan oleh Guru Besar sekolah, Hajah Jamaliah binti Haji Mohd Yassin serta guru-guru dan kakitangan sekolah berkenaan.

Dalam lawatan berkenaan, Yang Berhormat Pehin berkesempatan membuat tinjauan kemasukan murid-murid baru Darjah Pra, kelas Darjah 4 hingga 6 (blok baru) sambil beramah mesra dengan murid-murid.

Pada hari yang sama Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU juga telah mengadakan hari pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar baru Darjah Pra ke sekolah-sekolah agama di keempat-empat buah daerah.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika membuat lawatan kerja ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika membuat lawatan kerja ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada salah seorang guru kelas Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.
Yang Berhormat Pehin bertanyakan sesuatu kepada salah seorang guru kelas Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas.
Antara pelajar-pelajar sekolah agama itu yang berasa gembira di hari pertama persekolahan mereka.
Antara pelajar-pelajar sekolah agama itu yang berasa gembira di hari pertama persekolahan mereka.

Pendaftaran kemasukan pelajar tersebut bermula dari jam 7:30 pagi bagi sesi pagi dan jam 1:30 petang bagi sesi petang.

Menurut kenyataan KHEU, keramaian kemasukan pelajar-pelajar Darjah Pra di seluruh negara pada tahun ini adalah seramai 5,764 orang dengan 4,117 orang daripadanya mendaftar di Daerah Brunei Muara, 614 orang di Daerah Tutong, 882 orang di Daerah Belait dan 151 orang di Daerah Temburong.

Lawatan dan tinjauan Yang Berhormat Pehin ke sekolah agama adalah bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan KHEU atas usaha-usaha JPI dan pimpinan sekolah-sekolah agama di daerah-daerah terhadap segala persiapan, penilaian, strategi dan sasaran pihak sekolah.