Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Salah satu cara darjat seseorang itu diangkat ke peringkat yang lebih baik ialah Allah SWT memberikan pelbagai ujian seperti bebanan, tekanan dan cabaran agar mereka sentiasa menguatkan hati dan akal.
Perkara itu antara isi kandungan tazkirah bertajuk ‘Hati dan Akal’ sempena program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama yang disampaikan oleh Pegawai Turus Gerakan Agama, Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar dari Surau Al-Quwwah, Perkhemahan Bangar, Temburong, malam tadi.
Hadir sama memeriahkan program berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Program kali ini turut mengundang tetamu khas, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman dari Masjid Pekan Seria yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Turut sama mengimarahkan acara ialah siswa dan siswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), tenaga pengajar KUPU SB dan Sekolah Arab Temburong serta para pegawai dan anggota JAMA’AT, Kementerian Pertahanan.
Tidak ketinggalan menyemarakkan lagi acara ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah Masjid Pekan Seria dan Masjid Pehin Khatib Haji Abdullah, Kampung Kulapis, serta daripada 91 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, di samping warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.