Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Iman merupakan suatu perkara yang mesti ada pada diri setiap orang Islam, iman sifatnya berkurang dan bertambah.
Ia bertambah dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan berkurang pula dengan maksiat kepada Allah.
Dengan iman, seseorang itu akan mudah terdorong untuk melakukan amal kebajikan dan terhalang daripada melakukan perkara keji dan mungkar dan orang yang beriman dengan sebenar-benar iman akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, serta darjat mereka tinggi di sisi Allah dan mereka akan dimasukkan ke dalam Syurga.
Ini adalah antara isi kandungan tazkirah Subuh bertajuk ‘Iman dan Takwa’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awangku Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin semasa program Masjidku Makmur Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Dalam tazkirahnya itu, Awangku Ahmad Faris Ramadhani menjelaskan, kalau iman dapat mendorong seseorang itu untuk melakukan amal kebajikan, takwa pula dapat membantu seseorang itu istiqamah dalam melalukan amal kebajikan tersebut.
Manakala itu, ketakwaan kepada Allah SWT akan memelihara seseorang itu daripada perbuatan maksiat dan orang yang bertakwa tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang terjadi di sekitarnya di mana pun ia berada serta tidak akan terjerumus ke dalam bahaya arus kemodenan yang boleh melalaikannya daripada mengingat Allah, tambah beliau.
Dalam pada itu, sebagai usaha untuk memakmurkan masjid, tazkirah Subuh turut diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, kelmarin.
Tazkirah bertajuk ‘Husnul Khotimah’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Akup bin Haji Lamat yang antara lain menekankan, untuk meraih agar akhir hidup menjadi baik (husnul-khotimah), mestilah menjadi orang yang taat kepada Allah, taat kepada rasul dan selalu beramal soleh.
Beliau berkata, orang yang doanya akan dimakbulkan oleh Allah ialah mereka yang beriman, taat, mengamalkan sunnah Rasulullah, banyak beramal soleh, banyak berjasa kepada orang lain dan menjauhi dosa dan maksiat kepada Allah.
“Maka lazimkanlah diri kita untuk berdoa agar akhir hayat kitani dalam husnul khotimah,” tambahnya.
Sementara itu, di Masjid Pekan Seria pula tazkirah mengenai ‘Meraih Keberkatan’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof.
Tazkirah antara lain menekankan bahawa keberkatan dalam mencari rezeki juga adalah suatu perkara yang sangat mustahak kerana dengan berkatnya hasil pencarian atau pendapatan yakni dengan cara yang jujur dan ikhlas, akan mendatangkan kebaikan serta keredaan Allah SWT terhadap seorang mukmin itu. Selain untuk memakmurkan masjid dan mengembangkan syiar Islam, program berkenaan juga bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan para jemaah sekali gus dapat mengeratkan silaturahim.