PARIS, 6 MEI – Gerald Darmanin, bekas Menteri Dalam Negeri Perancis dan kini Menteri Kehakiman, akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada penyokong Liverpool kelmarin atas kekecohan yang berlaku semasa final Liga Juara-Juara 2022 di Stade de France.
Dalam satu temu bual yang disiarkan di YouTube, Darmanin berkata mengakui bahawa mereka salah dalam langkah-langkah yang diambil.
Perlawanan antara Liverpool dan Real Madrid itu ditangguhkan selama 37 minit selepas ribuan penyokong terkandas di luar stadium akibat kawalan masuk yang mengelirukan dan penuh sesak.
Darmanin menyalahkan penyokong Liverpool, mendakwa ramai hadir tanpa tiket. Tiga tahun kemudian, dia mengakui dalam temu bual bahawa pihak berkuasa telah membuat kesilapan.
“Ya, ia satu kegagalan,” katanya.

“Saya tidak periksa situasi dengan betul – itu kesilapan saya dan saya terbawa dengan prasangka.”
“Saya mohon maaf kepada penyokong Liverpool. Mereka memang berhak untuk marah.”
Ketegangan memuncak apabila polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penyokong yang terkandas di luar pagar logam.
Badan induk bola sepak Eropah UEFA pada mulanya cuba menyalahkan penyokong yang datang lewat walaupun ribuan penyokong telah ditahan selama berjam-jam di luar stadium sebelum sepak mula.
Pihak berkuasa Perancis juga mendakwa berlaku ‘penipuan tiket berskala besar’.
Siasatan Senat Perancis mendapati punca sebenar adalah kegagalan pihak berkuasa dalam merancang dan melaksanakan kawalan keselamatan, manakala laporan bebas pula menyimpulkan bahawa UEFA memikul ‘tanggungjawab utama’ dan menyatakan kejadian itu hampir bertukar menjadi ‘bencana maut berskala besar’ namun tiada siapa yang tercedera pada malam perlawanan akhir.
Perlawanan itu berakhir dengan Real Madrid menewaskan Liverpool 1-0. – AFP