WELLINGTON, 1 MEI – Cuaca buruk melanda New Zealand pada Khamis, dengan beberapa kawasan diisytihar darurat berikutan hujan lebat dan angin kencang, lapor Xinhua.
Di Pulau Selatan, hujan lebat menyebabkan banjir, memaksa penduduk dipindahkan dari kediaman mereka.
Menteri Pengurusan Kecemasan dan Pemulihan, Mark Mitchell mengumumkan bahawa bandar Christchurch diisytihar darurat pada sidang media petang hari ini.
Menurut pihak berkuasa cuaca negara, MetService, beberapa kawasan di wilayah Canterbury mencatatkan taburan hujan antara 100 hingga 180 milimeter sejak Rabu hingga tengah hari ini lebih dua kali ganda purata hujan bulanan dalam tempoh singkat itu.
Datuk Bandar Selwyn, Sam Broughton pula berkata darurat diisytihar bagi daerah itu pada 5:39 pagi susulan paras sungai yang meningkat dan nasihat yang dikeluarkan majlis wilayah.

MetService turut mengeluarkan Amaran Merah bagi angin kencang di Wellington bermula 10 pagi Khamis hingga 3 pagi Jumaat amaran pertama seumpamanya yang dikeluarkan tahun ini.
Amaran Merah hanya dikeluarkan bagi kejadian cuaca melampau yang dijangka menyebabkan gangguan besar dan kerosakan.
Di Wellington, kelajuan angin mencecah sekurang-kurangnya 150km/j di kawasan terbuka dan 118 km/j di kawasan lain, dengan ramalan kelajuan maksimum sehingga 140 km/j pada awal petang hari ini.
Semua penerbangan di Lapangan Terbang Wellington dibatalkan sekurang-kurangnya sehingga 6 petang.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa akibat cuaca buruk itu. – Bernama