Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Darussalam Assets ambil alih Pusat Pemprosesan Padi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Bermula hari ini (1 Ogos), Wasan Milling Company Sdn Bhd iaitu sebuah entiti korporat baharu yang dimiliki penuh oleh Syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd (Darussalam Assets) telah mengambil alih operasi Pusat Pemprosesan Padi yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, Mukim Pengkalan Batu, yang sebelum ini dikendalikan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

    Inisiatif pengkorporatan itu dipandu oleh KSSUP, dengan kerjasama Darussalam Assets dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan objektif untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran beras bagi menampung keperluan negara yang semakin meningkat.

    Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi) selaku Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Assets, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid mengongsikan bahawa objektif utama penubuhan syarikat tersebut adalah untuk meningkatkan pengeluaran beras di Negara Brunei Darussalam. Selain itu, ia juga bagi memastikan bekalan beras tempatan yang berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

    Melalui pengkorporatan perkhidmatan pengisaran padi berkenaan, Wasan Milling Company akan dapat menjana lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan serta menyalurkan peluang-peluang latihan bagi peningkatan kemahiran teknikal dalam pengendalian mesin pengisaran padi agar selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dalam industri agribisnes.

    Pengkorporatan itu adalah sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 serta mendukung agenda sekuriti makanan negara ke arah usaha untuk meningkatkan keluaran industri padi dan sara diri bekalan beras yang mencukupi.

    Dalam masa terdekat, Wasan Milling Company melalui kolaborasi bersama pihak KSSUP, akan menaik taraf fasiliti dengan penggunaan mesin pengisaran padi teknologi terkini bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menjurus kepada penghasilan produk beras yang lebih berkualiti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...