Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Darussalam Assets hulur sumbangan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Darussalam Assets Sdn Bhd (Darussalam Assets) telah menyerahkan cek kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) untuk memberikan sokongan kewangan penuh bagi dua orang pelajar berkeperluan khas sepanjang program mereka di pusat tersebut selama setahun.

    Penyampaian sumbangan berkenaan yang dijalankan buat tahun ketiga berturut-turut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Darussalam Assets.

    Sumbangan telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Pelaburan) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku ketua pegawai eksekutif Darussalam Assets kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin pada majlis yang diadakan di Pejabat Darussalam Assets di Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Turut hadir semasa penyampaian sumbangan itu ialah Ketua Pegawai Pelaburan Darussalam Assets, Ainadin Cader; Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Darussalam Assets, Hajah Rahayu binti Dato Paduka Haji Abdul Razak; Ketua Pegawai Kewangan Darussalam Assets, Laila Hussainmiya serta kakitangan Pusat Ehsan.

    Menurut kenyataan yang diberikan, Darussalam Assets telah menjadi penyumbang setia dalam Skim Pengambilan Pelajar Berkeperluan Khas yang dilancarkan oleh Pusat Ehsan pada 2017. Menerusi skim berkenaan, para penaja telah diberi peluang untuk membiayai sepenuhnya perbelanjaan pelajar-pelajar berkeperluan khas yang termasuk, tetapi tidak terhad kepada, sokongan pembelajaran, perkhidmatan pemulihan, aktiviti-aktiviti, kemudahan atau utiliti dan pengangkutan.

    Selain itu, para penaja melabur terhadap kehidupan, pertumbuhan dan pembangunan pelajar-pelajar Pusat Ehsan. Ini, tambah kenyataan, adalah sebahagian daripada inisiatif CSR Darussalam Assets yang termasuk memfokuskan terhadap pembangunan dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat setempat.

    Haji Khairuddin ketika menyerahkan sumbangan kepada Pengiran Datin Hajah Noraini.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda