Oleh Daniel Lim
BELAIT, 14 MEI – Peminat kereta dan motosikal di seluruh negara telah mempamerkan kenderaan kebanggaan mereka semasa Darussalam Motofest 2023 yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini di kawasan sekitar Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait.
Dianjurkan oleh Family United Event Management (FUEM), pameran itu merupakan salah satu pertunjukan terbesar yang dikendalikan oleh organisasi itu, menurut Pengurus Operasi FUEM, Haji Julaihi bin Haji Junaidi.
Bercakap mengenai acara itu, Haji Julaihi menjelaskan bahawa ia lebih daripada pameran kereta dan motosikal kerana ia merangkumi pelbagai permainan dan aktiviti yang menyeronokkan serta pertandingan untuk kenderaan dan motosikal yang mengambil bahagian, sebagai sebahagian daripada inisiatif pertubuhan itu untuk menyerlahkan budaya kereta dan motosikal yang terdapat di negara ini.
Beliau berharap pameran tersebut akan menghimpunkan orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat dalam berkongsi rasa cinta dan minat yang sama terhadap kereta dan motosikal, serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengikutinya dengan selamat kerana mereka dapat melihat secara dekat dan peribadi kereta dan motosikal
idaman.
Hadir untuk menyaksikan dan merasmikan pameran berkenaan pada 12 Mei lalu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Haji Mohd Rosfadzilah bin Haji Yusly yang turut menyaksikan pelbagai jenis kereta dan motosikal yang
dipamerkan.
Aktiviti-aktiviti lain yang diadakan termasuk gerai dan jualan garaj daripada usahawan-usahawan tempatan, serta pertandingan kereta dan motosikal.





