HANOI, 3 JULAI – Dasar baharu visa Vietnam mungkin membantu negara itu menarik 12 juta pelancong asing tahun ini, jauh melepasi sasaran sebelum ini sebanyak lapan juta, kata Pengarah Sekretariat Lembaga Penasihat Pelancongan Vietnam (TAB) Hoang Nhan Chinh.
Vietnam meluluskan pindaan dan tambahan kepada beberapa artikel undang-undang mengenai syarat keluar masuk dari negara itu, termasuk untuk warga asing.
Menerusi e-visa, warga asing boleh masuk dan keluar tanpa had dalam tempoh 90 hari, tanpa perlu memohon visa baharu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Menurut peraturan itu, warga asing dari negara yang secara unilateral dikecualikan visa oleh Vietnam, akan diberikan kediaman sementara selama 45 hari (meningkat daripada 15 hari) dan boleh dipertimbang untuk memperoleh visa dan lanjutan kemudahan kediaman sementara.
Pada masa ini, e-visa yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen kepada warga asing melalui sistem transaksi elektronik hanya sah sekali sahaja. Vietnam mengeluarkan e-visa kepada rakyat dari 80 negara.


Chinh berkata dasar baharu visa Vietnam itu lebih menguntungkan, sekali gus akan menjadi pendorong kepada industri pelancongan semasa musim puncak pada akhir tahun.
Beliau berkata pada masa ini Vietnam hanya membenarkan rakyat dari 80 negara memohon e-visa ke negara itu, dan membenarkan permohonan untuk pengecualian visa bagi pelawat antarabangsa dari 24 negara, lebih rendah berbanding negara lain di rantau ini seperti Thailand (76), Malaysia (156) dan Singapura (162).
Oleh itu, jika senarai negara bebas visa diperluas dengan cepat, lebih banyak peluang untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Vietnam mulai suku ketiga tahun ini, katanya sambil menambah sektor pelancongan negara itu akan segera pulih sepenuhnya jika lebih ramai pelawat asing mengunjungi negara itu.
Pada masa ini, Vietnam menggunakan dasar pengecualian visa unilateral kepada 13 negara – Rusia, Jepun, Korea Selatan, Norway, Finland, Denmark, Sweden, Belarus, UK, Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali.
TAB mencadangkan kerajaan memperluas dasar itu kepada 33 negara lain, termasuk baki 20 negara Kesatuan Eropah dan negara yang ramai penduduknya mengunjungi Vietnam seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada dan Switzerland, menurut Chinh.
Vietnam menerima lebih 5.57 juta pelancong asing dalam tempoh enam bulan pertama 2023, menurut Pentadbiran Pelancongan Kebangsaan Vietnam. – Bernama

