KUALA LUMPUR, 18 NOV – Rantau ASEAN yang berkecuali menawarkan platform bagi perdagangan, kerjasama teknologi dan pelaburan dengan semua kuasa ekonomi utama, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata penglibatan ASEAN yang konsisten dengan Amerika Syarikat (AS) dan China tanpa cenderung menyebelahi mana-mana blok secara strategik, juga telah mengekalkan ruang dasar yang sebaliknya kurang diamalkan di kebanyakan rantau lain.
“Pendirian sebegini dapat mengekalkan autonomi selain meningkatkan lagi daya tarikan ekonomi ASEAN,” katanya pada sesi perbincangan bertajuk Membangunkan Kekuatan Serantau Menerusi Dasar Fiskal dan Perdagangan Pintar, hari ini.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata sejak setahun lalu, Malaysia telah diberi kepercayaan sebagai pengerusi ASEAN yang pada masa menyaksikan pemecahan geopolitik serta pertikaian kuasa-kuasa besar.
Di sebalik cabaran itu, ASEAN memaparkan daya tahan, perpaduan serta kestabilan, sekali gus mengesahkan lagi kedudukannya sebagai tonggak keseimbangan ekonomi serta berkecuali secara strategik.
“Salah satu perkara utama daripada Kepengerusian ASEAN itu adalah kerelevanan rantau ini yang telah ketara seiring dengan peningkatan polarisasi global. Seiring penjajaran semula dan perubahan rantaian geopolitik, pendirian ASEAN telah menjadi kuasa penstabil yang bernilai,” katanya. – Bernama

