Wednesday, April 17, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Dasar lawatan ke hospital dikemaskini

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Berikutan dengan situasi terkini jangkitan COVID di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa bermula esok (9 Mei), semua hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan mengemas kini dasar lawatan.

    Pengemaskinian berkenaan adalah untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan para pesakit, pelawat, penjaga dan semua petugas hospital daripada pendedahan kepada risiko penularan wabak COVID di hospital, menurut Kementerian Kesihatan dalam kenyataan akhbar mengenai pengemaskinian Dasar Lawatan ke Semua Hospital Kerajaan bagi Pesakit-pesakit, Pelawat-pelawat dan Penjaga-penjaga semasa Fasa Endemik, hari ini.

    Kementerian menjelaskan, bagi golongan pesakit, mereka dikehendaki untuk mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning; mereka yang memiliki kod BruHealth berwarna merah atau unggu hanya dibenarkan ke hospital jika perlu dimasukkan ke wad atau memerlukan rawatan perubatan; selain dimestikan memakai pelitup muka pada setiap masa.

    Untuk pesakit luar (outpatient), mereka hendaklah mempunyai bukti swab ujian pantas antigen (ART) yang negatif (sah dalam masa 24 jam) dan individu yang tidak mempunyai BruHealth atau bukti swab ART yang negatif, mereka dikehendaki untuk melakukan ujian ART di stesen-stesen swab yang telah ditetapkan dengan menggunakan kit ART sendiri atau peribadi.

    Bagi golongan pelawat, mereka hendaklah melapor di checkpoint pemeriksaan yang telah ditetapkan sebelum masuk ke mana-mana klinik dan wad termasuk wad obstetrik atau unit-unit di dalam hospital; hendaklah mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning; dan mempunyai bukti swab ART yang negatif.

    Individu yang tidak mempunyai BruHealth atau bukti swab negatif, mereka dikehendaki untuk melakukan ujian ART di stesen-stesen swab yang telah ditetapkan dengan menggunakan kit ART sendiri atau peribadi.

    Bagi mengelakkan risiko jangkitan dan memastikan para pesakit yang dimasukkan ke wad mendapat rehat yang mencukupi serta menerima penjagaan dan rawatan tepat pada masanya, hanya dua orang pelawat yang ditetapkan (tidak termasuk penjaga) dibenarkan bagi setiap pesakit pada setiap sesi lawatan.

    Selain itu, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke wad atau unit; pelawat hanya dibenarkan melawat pesakit di wad zon risiko rendah (cold zone wards); pelawat tidak dibenarkan melawat pesakit di wad tahanan, wad pengasingan atau mana-mana wad yang disekat aksesnya (lockdown); dan dengan kebenaran pesakit, para pelawat dibenarkan untuk membuat panggilan video dengan ahli keluarga tetapi tidak dibenarkan melakukan rakaman video petugas, pesakit lain atau wad yang terlibat.

    Hanya seorang pelawat dibenarkan menemani pesakit untuk temu janji atau pengambilan ubat.

    Semua pelawat hendaklah memastikan untuk memakai pelitup muka pada setiap masa dan mengekalkan penjarakan fizikal; perlahankan suara dan elakkan daripada membuat bising; mencuci tangan dengan sabun dan air atau gunakan sanitiser sebelum dan selepas lawatan; memastikan telefon bimbit dimatikan atau aktifkan mod senyap; tidak melawat pesakit jika pelawat dalam keadaan tidak sihat atau sakit; dan menghormati privasi pesakit lain.

    Bagi golongan penjaga pesakit (pendamping), mereka hendaklah melapor di checkpoint pemeriksaan yang telah ditetapkan sebelum masuk ke mana-mana wad termasuk wad obstetrik dan bilik bersalin.

    Selain itu, mereka hendaklah mempunyai kod BruHealth berwarna hijau atau kuning; dan hendaklah mempunyai bukti swab ART yang negatif. Bagi yang tidak mempunyai BruHealth atau bukti swab ART yang negatif, mereka dikehendaki untuk melakukan ujian di stesen-stesen swab yang telah ditetapkan dengan menggunakan kit ART sendiri atau peribadi.

    Para penjaga juga dikehendaki untuk menunjukkan bukti ujian swab ART yang negatif kepada petugas di stesen jururawat atau kaunter penyambut tetamu semasa masuk ke wad-wad termasuk wad obstetrik dan wad selepas bersalin.

    Hanya seorang penjaga bagi setiap pesakit dibenarkan; pertukaran penjaga bagi setiap pesakit adalah dibenarkan dan hendaklah mematuhi terma dan syarat yang sama.

    Para penjaga hendaklah memastikan untuk memakai pelitup muka pada setiap masa dan mengekalkan penjarakan fizikal; perlahankan suara dan elakkan dari membuat bising; mencuci tangan dengan sabun dan air atau gunakan sanitiser tangan dengan kerap; memastikan telefon bimbit dimatikan atau aktifkan mod senyap (silent mode); dan menghormati privasi pesakit lain.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123 atau layari laman sesawang www.moh.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...