Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dasar pelawat & pendamping dikemas kini

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan telah memaklumkan pengemaskinian terkini Dasar Pelawat dan Pendamping Pesakit bagi hospital-hospital, pusat kesihatan dan fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta bermula pada 1 Oktober 2023.

    Ini khususnya dari segi aspek pemakaian pelitup muka, ujian pantas antigen (ART), pelawat ke wad, pendamping atau penjaga pesakit, pesakit COVID-19.

    Menurut kenyataan itu, pengemaskinian itu dibuat memandangkan Negara Brunei Darussalam telah berada di Fasa Endemik dengan tahap imuniti penduduk yang tinggi daripada jangkitan COVID-19 serta pengisytiharan penamatan kecemasan kesihatan awam terhadap wabak tersebut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu.

    Kementerian itu menjelaskan, bagi pelitup muka, pemakaiannya adalah dimestikan bagi kawasan in-patient seperti wad-wad, Jabatan Kecemasan dan Jabatan Radiologi sahaja.

    Manakala itu, ia tidak dimestikan untuk kawasan outpatient seperti klinik, phlebotomi dan farmasi.

    Walau bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah dikehendaki bagi sesiapa yang mempunyai simptom jangkitan serupa influenza (ILI).

    Gambar oleh Nurdiyanah R.

    Bagi kawasan pusat kesihatan atau klinik, pemakaian pelitup muka adalah dimestikan di kawasan Klinik Flu sahaja. Pemakaiannya tidak dimestikan di kawasan lain, kecuali jika mempunyai simptom ILI.

    Berkaitan dengan ujian ART, bagi kawasan hospital, ia masih diperlukan bagi kemasukan pesakit ke wad, kecuali bagi mereka yang baru pulih daripada jangkitan COVID-19.

    Namun ujian ART tidak diwajibkan bagi pelawat-pelawat yang datang mengunjungi pesakit-pesakit di wad. Walau bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melawat jika mempunyai simptom atau kurang sihat.

    Bagi kawasan pusat kesihatan atau klinik, ujian ART adalah diperlukan bagi pesakit yang mempunyai simptom ILI dan yang telah dirujuk untuk kemasukan ke hospital.

    Dalam pada itu, menyentuh mengenai dasar pelawat ke wad pula, hanya dua orang pelawat (tidak termasuk penjaga) dibenarkan bagi setiap pesakit pada setiap sesi lawatan semasa waktu melawat.

    Selain itu, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke wad atau unit; para pelawat hanya dibenarkan melawat pesakit di wad zon risiko rendah; dan mereka juga tidak dibenarkan melawat pesakit di wad tahanan, wad pengasingan atau mana-mana wad yang aksesnya terhad.

    Dengan kebenaran pesakit, para pelawat dibenarkan untuk membuat panggilan video dengan ahli keluarga tetapi tidak dibenarkan melakukan rakaman video petugas, pesakit lain atau wad yang terlibat. Hanya seorang pelawat dibenarkan menemani pesakit untuk perjanjian atau pengambilan ubat.

    Semua pelawat hendaklah memakai pelitup muka di tempat-tempat yang ditetapkan, memperlahankan suara dan elakkan daripada membuat bising, sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air atau gunakan pensanitasi tangan sebelum dan selepas lawatan, dan begitu penting untuk memastikan telefon bimbit dimatikan atau aktifkan mod senyap.

    Para pelawat juga tidak dibenarkan melawat pesakit jika mereka dalam keadaan tidak sihat atau sakit, dan menghormati privasi pesakit lain serta mengelakkan daripada makan dan minum dalam wad.

    Bagi pengemaskinian terkini dasar pendamping atau penjaga pesakit, hanya seorang penjaga bagi setiap pesakit dibenarkan di mana pertukaran penjaga bagi setiap pesakit adalah dibenarkan dengan syarat pengganti perlu melakukan ujian ART terlebih dahulu.

    Para penjaga juga dikehendaki memakai pelitup muka pada setiap masa, memperlahankan suara dan elakkan daripada membuat bising dan sentiasa mencuci tangan dengan sabun dan air atau gunakan sanitiser tangan dengan kerap.

    Di samping itu, mereka juga dikehendaki untuk memastikan telefon bimbit dimatikan atau aktifkan mod senyap dan menghormati privasi pesakit lain.

    Manakala itu, bagi pesakit COVID-19, mereka yang positif COVID-19 tidak dibenarkan menghadiri perjanjian prosedur rawatan rutin. Contohnya, perjanjian klinik rutin atau prosedur pergigian,

    sebaliknya, mereka dinasihatkan untuk menjadualkan semula perjanjian mereka.

    Walau bagaimanapun, pesakit COVID-19 yang mengalami simptom yang semakin teruk boleh mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan berdekatan dan perlu memaklumkan petugas kesihatan bahawa mereka adalah positif COVID-19.

    Sementara itu, pemakaian pelitup muka sebagai pencegahan jangkitan COVID-19 bagi pengendali makanan dan pekerja-pekerja di restoran dan kedai juga tidak lagi diwajibkan.

    Walau bagaimanapun, pengendali-pengendali makanan dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan amalan pengendalian makanan yang betul, bersih dan selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda