Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dash FA sertai Piala SEA Albirex (S)

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN- Dash Football Academy (Dash FA) mengumumkan penyertaannya dalam Perlawanan Akhir Piala SEA Albirex (S) 2024/2025, yang akan berlangsung di Singapura pada 27 hingga 29 Jun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dash FA, di sini, menyatakan kejohanan berprestij peringkat serantau itu, menghimpunkan pasukan bola sepak muda terbaik dari seluruh Asia Tenggara dalam satu pertandingan penuh semangat dan kecekapan.

    Pasukan dari Negara Brunei Darussalam akan menampilkan barisan pemain muda berbakat yang telah dipilih melalui pertandingan yang kompetitif dan latihan yang berdedikasi.

    Penyertaan dalam perlawanan berkenaan merupakan pencapaian penting bagi Dash FA, yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat serantau.

    Pasukan itu disokong oleh Mitsubishi Heavy Industries Engine System Asia Pte Ltd, yang telah memberikan tajaan dan sokongan penuh dalam merealisasikan penyertaan berkenaan. Dash FA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Mitsubishi atas komitmen mereka dalam pembangunan belia dan sukan di rantau ini.

    Para Pemain Dash FA bergambar ramai sebelum menyertai Perlawanan Akhir Piala SEA Albirex (S) 2024/2025 di Singapura. – GAMBAR SERAHAN DASH FA

    “Kami amat berbesar hati untuk mewakili Brunei di pentas ini,” kata Pengarah Teknikal Dash FA, Pengiran Mohd Shahrom Pengiran Haji Ismail.

    “Peluang ini adalah hasil daripada kerja keras para pemain dan jurulatih, serta menjadi inspirasi kepada semua pemain muda di Brunei yang bercita-cita untuk beraksi di peringkat antarabangsa.”

    Penyertaan itu membuktikan potensi besar dalam arena bola sepak negara dan selari dengan aspirasi nasional untuk meningkatkan standard bola sepak melalui pendedahan dan pengalaman di peringkat antarabangsa.

    Dalam hubungan itu, seluruh rakyat Brunei diseru untuk memberikan sokongan penuh kepada pasukan Brunei yang akan membawa bendera negara dengan penuh kebanggaan di Singapura hujung minggu ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda