SEPANG, 7 JAN – Jabatan Imigresen (JIM) memberi jaminan data peribadi pengguna yang menggunakan sistem kod respons pantas (QR) menerusi aplikasi MyBorderPass adalah selamat dengan aspek keselamatannya berada pada tahap tertinggi.
Timbalan Ketua Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Amirul Ariffin Lakimin berkata aspek keselamatan data pengguna dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi mengelak kecurian data.
“Sistem kod QR ini selamat kerana ia mematuhi Akta 709 dan kita telah ambil langkah sewajarnya.
“Ia (data) hanya digunakan untuk kegunaan imigresen sahaja dan tidak melibatkan pihak ketiga untuk elak kecurian data,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khususnya di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 dan 2. – Bernama