Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Data serangan siber di hospital London diterbitkan dalam talian

    LONDON, 21 JUN – Data sensitif daripada serangan siber yang membawa lepada gangguan besar di hospital London telah disiarkan dalam talian, kata pihak berkuasa kesihatan UK, hari ini.

    Serangan siber awal bulan ini ke atas pembekal perkhidmatan Synnovis telah menjejas pemindahan darah dan ratusan janji temu dan pembedahan masih dibatalkan.

    Serangan itu menjejaskan beberapa hospital terbesar di UK, Hospital King’s College dan Guy’s and St Thomas’ di ibu negara Britain.

    “NHS England telah dimaklumkan bahawa kumpulan penjenayah siber itu menerbitkan data malam tadi yang didakwa mereka milik Synnovis dan dicuri sebagai sebahagian daripada serangan ini,” kata badan yang menjalankan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di England.

    Menurut BBC, kumpulan penjenayah siber Rusia, Qilin berkongsi hampir 400 gigabait data, termasuk nama pesakit, tarikh lahir, nombor NHS dan deskripsi ujian darah di laman darknet dan saluran Telegram mereka.

    Synnovis, yang menjalankan ujian patologi pada sampel darah, terutamanya di tenggara London, menjadi mangsa serangan siber pada 3 Jun lalu.

    “Kami faham bahawa orang ramai mungkin bimbang dengan perkara ini dan kami terus bekerjasama dengan Synnovis, Pusat Keselamatan Siber Nasional dan rakan kongsi lain untuk menentukan kandungan fail yang diterbitkan secepat mungkin,” kata NHS England. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda