REDDING, Amerika Syarikat, 31 Julai – Seorang budak merayu minta diselamatkan sebelum ajal menjemputnya bersama dua yang lain dalam kebakaran ganas di California, dalam satu kesedihan yang diceritakan semula semalam, sementara mangsa yang terselamat memberitahu perjalanan keluar mereka daripada ‘gelombang’ kebakaran.
Beribu-ribu anggota bomba di California membuat beberapa kemajuan dalam memadam kebakaran berskala besar yang merubah kira-kira 200,00 ekar menjadi tanah tandus, memusnahkan rumah-rumah mewah dan menyebabkan lapan pegawai bomba dan orang awam terbunuh di negeri paling ramai penduduk di AS.
Kebakaran terburuk itu, yang berlaku di utara California, telah mengorbankan enam orang sejak Khamis, termasuk seorang wanita berusia 70 tahun dan dua cicitnya berumur empat dan lima tahun apabila api memusnahkan rumah mereka di Redding.
Media setempat mengenal pasti mangsa sebagai Melody Bledsoe dan cicitnya, Emily Roberts dan James Roberts, dengan panggilan ‘Junior’.
“Saya bercakap dengan Junior dalam telefon sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya,” kata suami Melody, Ed Bledsoe kepada CNN, ketika menceritakan semula kata-kata terakhir budak itu, kakaknya dan isterinya.

“Katanya, ‘datang dan selamatkan saya, api semakin menghampiri di pintu belakang. Cepat, datuk,” kata Bledsoe.
Tetapi dia tidak berkesempatan untuk pergi ke sana bagi menyelamatkan mereka semua.
“Saya sudah lama tinggal dalam komuniti ini dan saya tidak pernah melihat kebakaran yang membawa kemusnahan di kawasan itu di sini sebelumnya,” menurut Penyelia Daerah Shasta, Leonard Moty mengenai kebakaran itu.
Sementara itu Alyce Macken berkata dia hanya mempunyai beberapa minit untuk melarikan diri bersama suaminya Ted daripada kebakaran yang semakin menghampiri rumahnya di Redding, selepas seorang pegawai syerif mengetuk pintu dan memberi mereka 15 minit untuk meninggalkan rumah, kata Macken kepada AFP. – AFP