Oleh Raz AS –
Apabila ditanya pemancing-pemancing di negara ini, ikan apakah yang dianggap sebagai spesies ‘pengacau’ nombor 1, kemungkinan besar jawapan yang lazim diberikan adalah si ikan buntal.
Bagi kebanyakan pemancing tempatan, terutamanya pemancing di kawasan estuari dan air masin, kehadiran sang buntal adalah sangat-sangat tidak diingini malah ada juga yang membencinya.
Kadang-kadang ada yang sampai terkeluar sumpah seranah apabila ia memakan pancing yang dihulurkan. Bukan itu sahaja, apabila ia berjaya dinaikkan tidak ramai pemancing yang melepaskannya semula ke air, malah dibiarkan kering di darat dan hanya dibuang setelah mati.
Ikan ini bukan sahaja bijak mencuri umpan, ditambah lagi dengan giginya yang kuat dan setajam pisau, ikan buntal boleh memutuskan tali pancing dengan senang sekali bahkan ada juga kes mata kail patah akibat gigitannya.
Spesies keluarga ikan buntal mempunyai empat bilah gigi yang besar, kerana itulah ia digelar sebagai tetraodontidae yang mana ‘tetra’ bermaksud ‘empat’ dalam bahasa Latin.


Giginya yang keras dan tajam ini digunakan untuk memecahkan cengkerang krustasea seperti ketam dan juga kerang-kerangan termasuk siput marin yang merupakan
antara diet utamanya. Bayangkan jika jari awda terkena gigitannya!
Dikenali dengan pelbagai nama untuk pelbagai spesiesnya di seluruh dunia seperti pufferfish, balloonfish, blowfish, fugu dan sebagainya termasuk ikan buntal, ia yang menghuni kawasan marin, estuari dan kadang-kadang boleh ditemui di kawasan air tawar.
Taburan ikan buntal boleh didapati di hampir kesemua kawasan beriklim tropika dan kadang-kadang di kawasan beriklim sederhana.
Perkataan ‘buntal’ yang juga membawa makna buncit atau gembung, memberikan gambaran akan keunikan spesies ikan ini yang mempunyai kebolehan untuk menggembungkan perutnya seakan-akan belon apabila merasa terancam.
Namun gembungnya bukanlah belon sebarang belon.
Apabila ikan buntal menggembungkan badannya ia akan mendedahkan ribuan duri-duri halus yang mengandungi toksin berbahaya yang dikenali sebagai tetrodotoxin.
Toksin ini apabila memasuki tubuh badan manusia seperti melalui luka di tangan akibat tertusuk duri ikan buntal, boleh mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian tangan atau lebih teruk lagi boleh membawa maut.
Tiada statistik rasmi untuk kematian disebabkan racun ikan buntal di seluruh dunia, namun di Malaysia sahaja, dilaporkan bahawa sebanyak 58 kes keracunan akibat memakan ikan buntal termasuk 18 kematian dicatat di antara tahun 1985 hingga 2023.
Sementara di Jepun pula antara tahun 2008 hingga 2018, sebanyak 295 kes keracunan dan tiga kematian dicatat.
Kebanyakannya adalah daripada kalangan orang ramai yang menyediakan daging ikan itu sendiri di rumah atau disediakan oleh cef-cef yang tidak berlesen.

