KOTA BHARU – Dataran Muhammadi yang terletak di depan Masjid Muhammadi dilihat sebagai mercu tanda usaha berterusan pihak berkuasa untuk membangunkan bandar Kota Bharu sebagai pusat pelancongan. Terletak di kawasan Zon Warisan Budaya, Dataran Muhammadi yang diturap batu-bata dan siap pembinaannya pada Ogos 2016 dengan kos RM1.7 juta juga memaparkan landskap yang lebih menarik .
Pelbagai kemudahan disediakan di dataran itu termasuk 12 kiosk perniagaan, dua wakaf, satu pondok polis, tempat duduk dan ruang parkir untuk menampung keperluan jemaah masjid serta bas pelancong.
Kawasan sekitar dataran juga dilengkapkan dengan lampu LED di sekitar datarannya, yang memberi pencahayaan yang lebih baik bagi kawasan persekitaran dataran pada waktu malam khususnya bagi mereka yang ingin beriadah.
Pihak yang berwajib juga mengambil langkah bagi memastikan kawasan dataran sentiasa bersih bagi menggambarkan warga bandar Kota Bharu mempraktikkan budaya kebersihan dalam kehidupan mereka.
Kerjasama kerajaan pusat dan negeri
Projek pembinaan dataran berkenaan adalah hasil inisiatif dan kerjasama antara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). “Langkah menaik taraf dataran ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada kedatangan pelancong ke negeri ini, sekali gus mampu meningkatkan ekonomi.
“Kita harap segala kemudahan diberikan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin supaya ia bertahan lama, selain memberi imej baik di mata pelancong,” kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha. Sejak 2014 hingga 2016, MPKB menerima lebih 109 projek membabitkan nilai RM10 juta yang dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai.
Ia termasuk projek Menara Tinjau di Tambatan Diraja bernilai RM1.4 juta, laluan pejalan kaki, projek pencahayaan di sekitar Kota Bharu dan menaik taraf Dataran Ilmu. Dari dataran ini, pengunjung yang gemar membeli-belah serta menikmati keenakan masakan Kelantan boleh berjalan menuju pusat perniagaan berhampiran dataran itu.
Ramai pengunjung dari luar Kelantan rata-rata menjadikan lawatan ke premis jualan pakaian dan tekstil serta produk kraftangan yang banyak terdapat di bandar ini sebagai antara acara utama dalam atur cara lawatan mereka. Antara premis yang dikatakan tidak sah tidak dikunjungi jika melancong ke Kelantan ialah Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, dan Perkampungan Kraftangan.
Seorang pengunjung Pasar Khadijah, Rosmawati Darus, dari Jitra, Kedah begitu teruja melihat pelbagai jenis barangan yang dijual. “Pasar Siti Khadijah menawarkan pelbagai bahan makanan yang unik, rempah ratus, barangan tembaga, pakaian dan tekstil terutama batik dan songket.
“Amat mudah untuk kita dapatkan barang-barang itu kerana semuanya terdapat di bawah satu bumbung,” katanya. Di sekitar bandar Kota Bharu juga terdapat banyak premis menjual barang kemas dan batu permata yang sentiasa menjadi tumpuan pengunjung ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini.
Barangan emas yang dijual dikatakan berkualiti dan mempunyai seni reka yang unik. Satu lagi tarikan pelancong di Kota Bharu ialah Kampung Kraftangan sebagai pusat jualan songket, batik, barangan perak dan seni kraftangan yang mempunyai nilai estatika yang tinggi yang mana akan menarik perhatian pelancong.



Warisan sejarah
??????Bagi pengunjung yang berminat dengan bahan bersejarah, mereka boleh mengunjungi beberapa muzium yang terletak berdekatan dataran berkenaan seperti Istana Batu yang juga dikenali sebagai Muzium Diraja untuk mengenali lebih dekat perihal dan asal usul keluarga Diraja Kelantan.
Istana Jahar juga dikenali sebagai Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan yang memaparkan banyak artifak dan gambar yang membuktikan kekayaan warisan budaya Melayu Kelantan, dari hal kehidupan seharian sehingga adat istiadat kebesaran. Muzium Islam pula mempamerkan pelbagai artifak, dokumen bersejarah yang disertakan dengan pelbagai maklumat berkaitan sejarah dan perkembangan Islam di Kelantan dan rantau ini.
Di kawasan ini juga terdapat beberapa bangunan bersejarah lain yang menjadi tumpuan pengunjung seperti Bank Pitis dan Bank Kerapu. Pelancong yang datang ke bandar ini sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar dengan berlatar belakangkan Istana Balai Besar iaitu istana Melayu yang tertua di Kelantan dan antara yang tertua di Malaysia.
Struktur binaan yang sering menarik perhatian ialah Kota Sultan Ismail Petra juga dikenali sebagai Dataran Rehal, yang siap dibina pada 1990 sempena pengisytiharan Kota Bharu sebagai Kota Budaya. Ia membabitkan pembinaan pintu gerbang gergasi yang bercirikan seni bina tradisional Melayu Kelantan dengan lima menara yang di atasnya dihiasi replika Al Quran sebagai lambang pedoman utama rakyat Kelantan.
Bandar selamat pelancongan
??????Sementara itu, kerajaan Persekutuan membelanjakan kira-kira RM16 juta setahun untuk mewujudkan bandar selamat pelancongan di Kelantan membabitkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta membina laluan pejalan kaki bagi kemudahan orang ramai terutama pelancong. Kelantan menerima kedatangan sekitar lima juta pelancong setahun dan mereka dianggarkan berbelanja antara RM1,500 dan RM2,500 setiap seorang.
Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya sejuta yang bermalam di negeri ini. “Saya jangka dengan kewujudan bandar selamat, ia akan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk bermalam dan berbelanja di Kelantan. Hasil pelancongan sememangnya cukup hebat dan mampu membangunkan ekonomi Kelantan khususnya untuk peniaga kecil,” kata Makhtar.
Program Bandar Selamat itu dilihat sebagai langkah yang penting dalam aspek menjamin keselamatan pelancong semasa berada di negeri ini termasuk Kota Bharu. Ramai yang berharap mutu keselamatan dapat ditingkatkan sekali gus memberi mesej kepada pelancong luar bahawa Kota Bharu sebagai destinasi pelancongan bandar yang paling selamat dan selesa untuk dikunjungi.
Tinjauan penulis juga mendapati antara projek mengindahkan bandar yang sering diutamakan setiap tahun termasuk membina laluan pejalan kaki, laluan motorsikal, pemasangan lampu, kiosk, tandas awam serta tempat menunggu bas. – Bernama