SINGAPURA, 25 SEPT – Banduan akhir Malaysia, K Datchinamurthy, telah menjalani hukuman gantung di Penjara Changi, Singapura, hari ini, menurut pengesahan Biro Narkotik Pusat (CNB) republik itu.
“Pelaksanaan hukuman mati terhadap Datchinamurthy Kataiah telah dijalankan pada 25 September 2025. Datchinamurthy telah melalui proses undang-undang sepenuhnya dan diwakili peguam semasa perbicaraan serta rayuan,” kata CNB dalam satu kenyataan.
CNB berkata petisyen Datchinamurthy kepada Presiden Singapura bagi mendapatkan pengampunan juga tidak berjaya.
Datchinamurthy didakwa menyeludup 44.96 gram diamorfin ke Singapura pada 2011 dan dijatuhkan hukuman mati pada 15 April 2015.
Dia merayu terhadap sabitan dan hukumannya, namun Mahkamah Rayuan menolak rayuan itu pada 5 Februari 2016.
Pada 2022, dia diberikan penangguhan hukuman sebelum tarikh pelaksanaan awal pada 29 April 2022 bagi memulakan prosiding semakan kehakiman. – Bernama


