Ibu pengarah filem sensasi, Syamsul Yusof iaitu Datin Patimah Ismail menjadi perhatian warga maya terhadap setiap komen ditulisnya berhubung isu perkahwinan kali kedua anaknya dan isteri, Ira Kazar.
Sejak berita perkahwinan Syamsul, 39, dan Ira di Thailand hangat diperkatakan, Patimah juga didapati meninggalkan beberapa komen di media sosial, terutama membabitkan hantaran dibuat menantunya yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana.
Komen Patimah jadi perhatian dan hangat di portal-portal hiburan kerana kelantangannya mempertahankan Puteri Sarah, sekali gus tindakan itu dianggap warganet amat wajar bagi seorang ibu mentua yang menganggap menantu seperti anak sendiri.
“Masya Allah gigih cari rezeki, walau hati retak seribu, semoga kebahagiaan milikmu,” tulisnya dalam satu perkongsian video promosi produk dibuat Puteri Sarah di Instagram. “Semoga Allah gantikan ‘Ayah’ yang lebih baik untuk cucu-cucu saya,” tulisnya pada perkongsian foto dua cucunya, Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah, 4 ketika bercuti di Tokyo, Jepun yang dimuat naik di Instagram Puteri Sarah.
Terbaharu, turut dikongsikan Puteri Sarah di Instagram Stories ialah komen Patimah yang cukup tegas dan umpama luahan kesalnya yang membuatkan warga maya yakin beliau akan terus berada bersama Sarah memberi sokongan.
“Kami keluarga Syamsul tidak akan memaafkan Kazar yang membantu anaknya berkahwin dengan Syamsul dan telah merosakkan rumah tangga Puteri Sarah Liyana dan anak-anak mereka. Namun, kami terima takdir yang telah berlaku kepada anak kami itu,” tulisnya.
Sehingga kini, rata-rata warganet memberikan pelbagai komen kepada Patimah kerana kagum dengan pendirian seorang ibu penyayang sepertinya. – Agensi