ISTANBUL, 19 MAC – Pihak berkuasa Turkiye hari ini menahan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, hanya beberapa hari sebelum beliau dicalonkan sebagai calon presiden, menurut sumber yang rapat dengan ahli politik pembangkang itu kepada dpa.
Imamoglu kini dalam tahanan polis dan berada di ibu pejabat polis, menurut pembantu beliau yang mengesahkan perkara itu kepada dpa.
Beliau didakwa antara lain terlibat dalam organisasi jenayah dan rasuah, lapor Anadolu yang memetik kenyataan pejabat pendakwa raya.
Menurut penyiar tempatan termasuk CNN Turk, polis menyerbu kediaman Imamoglu di Istanbul pada waktu subuh dengan kehadiran pasukan antirusuhan. Dalam hantaran di X, Imamoglu menyatakan bahawa beliau akan ‘berdiri teguh’ menentang apa yang disifatkannya sebagai tekanan politik. – Bernama
