KUCHING, 1 SEPT – Hilmy Othman, yang mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Kuching Utara kelapan hari ini, akan memberi fokus terhadap pemerkasaan infrastruktur yang mesra manusia khususnya kepada kanak-kanak dan masyarakat menua.
Bekas Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan itu berkata bagi menzahirkan usaha tersebut, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak serta Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.
“Inisiatif sebegini sudah dijalankan di bawah DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara) dan MBKS (Majlis Bandaraya Kuching Selatan), tetapi kita mahu memberi penekanan pada kawasan tertentu berhubung kemudahan itu, justeru, lebih banyak usaha akan diambil bagi menyediakan kemudahan yang mesra kanak-kanak dan memenuhi keperluan masyarakat menua.
“Kita akan turut berbincang dengan MBKS serta kementerian lain terutamanya KPWK, diterajui Datuk Seri Fatimah Abdullah, memandangkan sesetengah perkara memerlukan kelulusan Kabinet,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelantikan beliau yang diadakan di hadapan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Pelantikan Hilmy, 64, berkuat kuasa selama dua tahun, adalah bagi menggantikan Datuk Junaidi Reduan yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar Kuching Utara semalam. – Bernama