Sunday, July 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Datuk bandar selatan Mexico mati ditembak  

    OAXACA, MEXICO, 16 JUN – Empat lelaki bersenjata menyerbu pejabat datuk bandar di selatan Mexico kelmarin, membunuh beliau dan seorang lagi kakitangan dalam serangan terbaharu ke atas ahli politik tempatan di negara itu, menurut pihak polis.

    Lelaki-laki berkenaan tiba menaiki motosikal di balai bandar San Mateo Pinas, dalam negeri Oaxaca, kata polis.

    Selepas mengugut anggota polis yang berkawal di fasiliti itu, mereka menyerbu masuk ke pejabat Datuk Bandar Lilia Garcia dan melepaskan tembakan yang membunuh beliau serta seorang lagi pegawai, Eli Garcia.

    Dua anggota polis perbandaran turut cedera dalam serangan tersebut, menurut pihak berkuasa.

    “Tiada keampunan bagi tindakan ini,” tulis Gabenor Oaxaca, Salomon Jara, di media sosial.

    Pejabat Pendakwa Negeri memaklumkan siasatan sedang dijalankan, sementara anggota tentera dan ejen persekutuan telah dihantar ke kawasan tersebut.

    Puluhan pegawai tempatan di Mexico telah menjadi sasaran kumpulan jenayah terancang dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di kawasan yang dikuasai kartel dadah berkuasa.

    Keganasan kini turut merebak ke ibu negara, Mexico City, apabila dua individu rapat dengan Datuk Bandar Clara Brugada dibunuh secara terbuka sebulan lalu.

    Kebanyakannya Keganasan jenayah – berkaitan penyeludupan dadah – telah meragut kira-kira 480,000 nyawa di Mexico sejak tahun 2006, dengan lebih 120,000 orang masih dilaporkan hilang. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda